Kalau anda ada ahli keluarga warga emas, orang kurang upaya (OKU), veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pahang, Kad Kesihatan Kasih Makmur, atau juga dikenali sebagai “kad biru”, boleh membantu mereka mendapatkan rawatan di klinik swasta dengan lebih cepat, tanpa perlu menunggu lama di hospital kerajaan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan, seramai 51,955 orang tersenarai untuk menerima kad ini bagi tahun 2026.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM16 juta untuk program ini. Sehingga 30 Jun 2026, RM4.7 juta sudah dibelanjakan oleh penerima kad, dan jumlah ini dijangka naik lagi sebelum kad tersebut tamat tempoh pada 31 Disember 2026.
RM500 Setahun Untuk Konsultasi, Pemeriksaan Dan Ubat
Setiap penerima layak menerima manfaat bernilai RM500 setahun. Duit ini boleh digunakan untuk konsultasi doktor, pemeriksaan kesihatan dan ubat asas di klinik panel swasta.
Jika warga emas dalam keluarga anda tiba-tiba jatuh sakit, mereka tidak perlu risau tentang lokasi pusat kesihatan yang perlu dituju atau berapa kos rawatan asas. Cukup dengan menggunakan kad biru di klinik panel yang berdekatan, tanpa perlu mengeluarkan duit dari poket sendiri terlebih dahulu.
Sabariah berkata, kerajaan negeri mahu penerima sedia ada menggunakan sepenuhnya kemudahan ini dahulu, sebelum berfikir untuk menaikkan nilai bantuan atau buka skim kepada kumpulan lain. “Buat masa ini, keutamaan ialah memastikan penerima sedia ada memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan dan program dilaksanakan secara berkesan serta berintegriti,” katanya.
Penerima Akui Manfaat Kad Biru Kepada Mereka
Hashim Hassan, 80, dari Kampung Bapong, Kuala Lipis, antara yang paling merasai kesan kad ini. Bekas pemandu bas Interakota ini menghidap penyakit kulit selulitis yang memerlukan rawatan suntikan sekitar RM150 setiap dua bulan di klinik swasta. “Bagi orang tua yang tidak ada pencen macam saya, bantuan ini besar maknanya, lebih-lebih lagi apabila mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan segera,” katanya.
Tak jauh dari rumah Hashim, Derani Had, 72, turut menerima kad yang sama. Sepanjang hidupnya, Tok Bilal Kampung Bapong ini hanya mampu ke hospital kerajaan, dan kini pergerakannya semakin terhad akibat masalah paru-paru. “Kalau selepas ini saya sakit dan perlu mendapatkan rawatan segera, sekurang-kurangnya saya ada pilihan selain hospital kerajaan,” katanya.
Siapa Yang Layak Dan Bagaimana Untuk Semak Kelayakan
Anda tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan kad ini. Menurut portal rasmi Kasih Makmur, penerima warga emas dan OKU akan disenaraikan secara automatik berdasarkan pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, dengan syarat OKU mestilah tidak bekerja.
Bermula tahun 2026, program ini turut diperluaskan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menetap di Pahang, berdasarkan rekod agensi berkaitan, melalui varian khas yang dinamakan Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan.
Ahli keluarga anda mungkin sudah tersenarai sebagai penerima tanpa mereka disedari. Untuk menyemak status penerima, muat turun aplikasi mudah alih “Kasih Makmur” secara percuma di Google Play Store atau App Store dan masukkan nombor kad pengenalan anda. Anda juga boleh hubungi Bahagian Khidmat Pelanggan Kasih Makmur di talian 019-750 8080 sekiranya mempunyai sebarang masalah atau ingin kemukakan soalan lanjut.
Syarat Penggunaan Dan Rawatan Yang Dilindungi Oleh Kad Ini
Kad ini hanya boleh digunakan oleh penerima berdaftar sendiri, tidak boleh dikongsi atau dipinjamkan kepada ahli keluarga lain. Baki RM500 yang tidak habis digunakan turut tidak dibawa ke tahun berikutnya, ia akan hangus sebaik sahaja masuk tahun baharu.
Selain rawatan pesakit luar dan pemeriksaan darah yang disebut lebih awal, kad ini turut meliputi fisioterapi, pemeriksaan radiologi seperti X-ray, ultrasound, ujian mammogram dan pap smear, swab test untuk influenza dan Covid-19, dan vaksinasi asas, serta bekalan tambahan seperti vitamin, susu nutrisi khas dan pampers. Bagi penerima yang menghadapi situasi seperti Derani, iaitu sudah tidak mampu bergerak ke klinik, ada juga perkhidmatan rawatan di rumah yang boleh dimohon terus melalui klinik panel berhampiran atau talian khidmat pelanggan yang sama.
Ramai Penerima Luar Bandar Masih Tak Tahu Mereka Layak
Sabariah akui, cabaran terbesar sekarang ialah tentang kesedaran. Ramai penerima yang layak, terutama di kawasan luar bandar, masih tidak mengetahui bahawa mereka boleh mendapatkan kad ini.
Jadi kalau anda ada saudara-mara warga emas atau OKU di Pahang yang belum pernah dengar tentang kad biru ini, boleh kongsikan berita ini dengan mereka.
Menurutnya, beliau sentiasa terbuka untuk menambah baik skim ini pada masa depan, bergantung kepada prestasi program dan kemampuan kewangan negeri.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
