Pengguna Ryt Bank Kini Boleh Mohon Pembiayaan Sehingga RM100K Menerusi Ryt Credit

KONGSI

Ryt Bank memperkenalkan Ryt Credit, iaitu satu ciri baharu yang menaikkan had kredit sehingga RM100,000 berbanding had RM1,499 di bawah Ryt PayLater sebelum ini. Ryt Credit mula tersedia dalam aplikasi Ryt Bank kepada pengguna sedia ada Ryt PayLater bermula 3 September 2026. Lebih ramai pengguna akan mendapat akses dalam beberapa minggu akan datang.

Ryt PayLater Telah Rasmi Digantikan

Sebelum ini, Ryt PayLater memberikan anda had kredit sehingga RM1,499 sahaja tanpa memerlukan sebarang dokumen pendapatan. Dengan Ryt Credit, anda boleh memohon had jauh lebih tinggi dengan hanya memuat naik penyata KWSP, jika ada lulus kriteria kelayakan. Kelulusan pula boleh diperoleh dalam masa beberapa minit.

Sekiranya anda sudah mempunyai pelan ansuran Ryt PayLater sedia ada, Ryt Bank belum menjelaskan secara rasmi kesan peralihan ini terhadap pengguna Ryt PayLater sedia ada. 

Cara Guna Ryt Credit

Ryt Credit mempunyai satu had kredit, tapi anda ada banyak cara untuk menggunakannya. Imbas mana-mana kod QR DuitNow di kedai, atau guna Ryt Card untuk membeli barang secara dalam talian mahupun di kedai fizikal. Tiada jumlah minimum untuk anda mula guna had kredit ini.

Bayar penuh baki penyata anda sebelum Tarikh Pembayaran Balik (4 hari kalendar selepas Tarikh Penyata), dan anda tidak dikenakan faedah langsung. Kalau anda inginkan lebih masa, tukar baki penyata kepada ansuran bulanan tiga, enam, sembilan, 12 atau 24 bulan pada kadar faedah tetap. Pelan 24 bulan hanya untuk pelanggan terpilih yang layak.

Kalau anda tidak memilih pelan ansuran sebelum Tarikh Pembayaran Balik, Ryt Bank akan menukar baki tertunggak anda kepada ansuran secara automatik.

Berapa Kadar Faedah Ryt Credit

Kadar faedah efektif tahunan (EIR) Ryt Credit, seperti yang dinyatakan dalam laman Fi dan Had rasmi Ryt Bank, berbeza ikut tempoh ansuran yang anda pilih:

Tempoh (Bulan)Sebelum 23 September 2026Mulai 23 September 2026
10.00%*0.00%*
326.80% setahun31.72% setahun
630.23% setahunBelum diumumkan
931.32% setahunBelum diumumkan
12 & 2431.72% setahunBelum diumumkan

Kadar 0% untuk tempoh satu bulan hanya terpakai kalau anda bayar penuh semua pembelian bulan tersebut dalam satu bayaran, sebelum Tarikh Pembayaran Balik. Kadar untuk pelan tiga bulan akan naik daripada 26.80% kepada 31.72% mulai 23 September 2026. Ryt Bank belum mengumumkan kadar baharu untuk pelan enam dan sembilan bulan selepas tarikh tersebut.

Sebagai contoh, mengikut pengiraan pada Lembaran Pendedahan Produk (PDS) [PDF], kalau anda mengambil pembiayaan RM1,499 pada tempoh tiga bulan dengan kadar faedah 8.87%, ansuran bulanan anda ialah RM510.74. Bayar penuh sepanjang 3 bulan, jumlah keseluruhan yang anda bayar ialah RM1,532.23.

Siapa Layak Mohon Ryt Credit

Syarat untuk memohon Ryt Credit mestilah warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun, dan sedang bekerja atau bekerja sendiri. Kalau anda pelajar, suri rumah atau pesara, anda tidak layak memohon.

Ryt Bank juga berhak meluluskan atau menolak permohonan anda mengikut budi bicara sendiri, dan had yang diluluskan juga mengikut penilaian bank terhadap profil anda. Anda boleh menerima had penuh yang ditawarkan, atau set had lebih rendah kalau anda rasa lebih selesa.

Untuk butiran lanjut, anda boleh semak terma dan syarat penuh di laman rasmi Ryt Bank

Cara Mohon Ryt Credit

Anda perlu melengkapkan permohonan dalam aplikasi Ryt Bank. Muat naik penyata KWSP anda untuk semakan had. Semak dan terima tawaran had yang diluluskan. Aktifkan Ryt Credit pada Ryt Card anda, dan anda boleh terus guna untuk beli-belah.

Setiap kali anda membuat bayaran balik, had kredit anda akan pulih semula secara automatik. Anda tidak perlu memohon semula atau menghantar dokumen baru untuk guna sekali lagi, selagi masih dalam had yang diluluskan.

Ryt Bank turut memperkenalkan skor kredit dalaman khas untuk Ryt Credit. Jika Anda bayar tepat pada masa, skor kredit anda naik, dan ini boleh membuka had kredit yang lebih tinggi untuk anda.

Apa Jadi Kalau Anda Gagal Bayar

Anda tidak dikenakan duti setem, caj pengeluaran atau caj lewat bayar untuk Ryt Credit. Anda juga boleh menyelesaikan bayaran lebih awal, tanpa penalti, terus dalam aplikasi Ryt Bank.

Tetapi kalau bayaran anda tidak sampai dalam masa satu hari selepas Tarikh Pembayaran Balik, had kredit anda boleh digantung sehingga jumlah tertunggak diselesaikan penuh. Skor kredit anda juga boleh terjejas. Pastikan anda mampu membayar balik sebelum menggunakan had kredit ini, terutama kalau anda ambil had yang tinggi.

Tips Guna Ryt Credit Dengan Bijak

Had kredit yang diluluskan tidak semestinya jumlah yang patut anda guna. Kalau Ryt Bank menawarkan anda had yang tinggi, ambil masa dulu untuk fikir berapa yang anda benar-benar perlukan, bukan berapa yang anda layak dapat.

Sebelum menukar baki penyata anda kepada ansuran, semak dulu kadar faedah efektif (EIR) berbanding kadar faedah rata bagi setiap tempoh. Tempoh lebih panjang bermakna ansuran bulanan lebih ringan, tapi jumlah faedah yang anda bayar keseluruhannya lebih tinggi. Kalau anda mampu, bayar penuh baki penyata sebelum Tarikh Pembayaran Balik supaya anda elak faedah sepenuhnya.

RinggitPlus juga mahu mengingatkan anda bahawa bayaran lewat pada Ryt Credit boleh menjejaskan skor kredit anda, dan secara tidak langsung  akan memberi kesan kepada permohonan pinjaman atau kad kredit lain pada masa depan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen