Kadar Gaji Minimum RM1,700 Disemak Semula, Ini Petunjuk Yang Digunakan Kerajaan

KONGSI

Kadar gaji minimum RM1,700 sebulan sedang disemak semula. Kerajaan belum putuskan sama ada kadar ini dikekalkan atau dinaikkan. Semakan ini dijalankan di bawah Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732). Keputusan akhir hanya akan dibuat selepas Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara (MPGGN) selesai menetapkan kadar baharu.

PGK dan Gaji Penengah Jadi Asas Kajian 

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, semakan ini mengambil kira indikator asas iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah, bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan majikan membayar upah. Selain itu, kadar turut ditetapkan berdasarkan indikator pelarasan seperti Indeks Harga Pengguna (IHP), produktiviti buruh dan kadar pengangguran.

Konsep Gaji Kehidupan Wajar Turut Dirujuk 

Menurut beliau, setakat ini pihak kementerian tidak melaksanakan kajian khusus berkaitan gaji kehidupan wajar. Bagaimanapun katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan konsep gaji kehidupan wajar pada tahun 2018 dengan menganggarkan gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur contohnya RM2,700 untuk individu bujang. Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula lebih granular mengikut lokasi, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah sebenar.

“Dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) turut menggariskan strategi reformasi pasaran buruh, antaranya mempercepat pelarasan gaji melalui semakan gaji minimum dengan mengambil kira gaji kehidupan wajar, dan akan disyorkan kepada kerajaan untuk gaji minimum akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2026.

Gaji minimum RM1,700 sebulan berkuat kuasa sejak Ogos 2025 dan disemak sekali setiap dua tahun.

Dasar Gaji Progresif Sudah Bantu Lebih 51,000 Pekerja

Selain gaji minimum, kerajaan turut jalankan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai pelengkap kepada model gaji minimum dan sistem gaji berasaskan produktiviti. Ramanan berkata Gaji Progresif ialah strategi kerajaan untuk menganjak struktur upah daripada sekadar gaji lantai kepada gaji yang setimpal dengan kemahiran. 

Setakat ini, 5,910 majikan telah memohon melalui Sistem Gaji Progresif. Daripada jumlah itu, 4,025 majikan atau 68.1% sudah menaikkan gaji pekerja dan menghantar tuntutan insentif. Inisiatif ini memanfaatkan 51,363 pekerja, melebihi sasaran awal 50,000 pekerja. Kerajaan sudah menyalurkan lebih RM73 juta bayaran insentif, terdiri daripada RM10.2 juta untuk pekerja peringkat permulaan dan RM62.9 juta untuk pekerja bukan peringkat permulaan.

Ramanan berkata dasar ini berlandaskan konsep sukarela, berteraskan insentif, terkait dengan produktiviti, dan terbuka kepada pekerja tempatan sahaja. Pekerja turut digalakkan menjalani sekurang-kurangnya 21 jam latihan yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada dasar ini.

Insentif RM200 Hingga RM300 Sebulan Untuk Majikan

Syarikat berdaftar yang memenuhi kriteria Gaji Progresif boleh menerima insentif sehingga RM200 sebulan bagi pekerja peringkat permulaan (bekerja dalam tempoh 12 bulan), dan sehingga RM300 sebulan bagi pekerja bukan peringkat permulaan (bekerja melebihi 12 bulan). Jumlah sebenar akan ditentukan kerajaan berdasarkan kedudukan fiskal negara. 

Ujar Ramanan, majikan juga digalakkan menawarkan kenaikan gaji seiring dengan peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi serta amalan kerja berteraskan digital. “Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan daya saing syarikat, tetapi juga mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi digital bernilai tinggi,” katanya.

Kementerian turut menggalakkan majikan menawarkan gaji lebih tinggi melalui Sistem Gaji Berasaskan Produktiviti, selain memperkukuh model gaji berasaskan kesatuan melalui Perjanjian Kolektif.

Gaji RM1,700 Kekal Buat Masa Ini

Buat masa ini, gaji minimum kekal RM1,700 sebulan sehingga MPGGN selesai menetapkan kadar baharu. Tiada tarikh atau kadar rasmi diumumkan lagi, jadi sebarang perubahan gaji hanya berkuat kuasa selepas keputusan rasmi dibuat.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen