PUSPAKOM GEAR Kini Meliputi 26 Cawangan, Pemeriksaan Segera RM150 Setiap Tempahan

KONGSI

PUSPAKOM kini mengembangkan perkhidmatan tempahan awal GiCheck Early Access Reservation (GEAR) ke semua 26 cawangan utamanya di seluruh Malaysia sepanjang Ogos 2026. Anda boleh menempah slot pemeriksaan untuk hari berikutnya dengan bayaran permulaan RM150 bagi setiap slot, tertakluk kepada penyesuaian dari semasa ke semasa.

Perluasan ini berlaku kurang tiga minggu selepas GEAR mula diuji di beberapa cawangan terpilih.

Kadar Kehadiran 93.7% Semasa Fasa Perintis

Menurut PUSPAKOM, fasa perintis mencatatkan kadar tempahan 98.8% dan kadar kehadiran pelanggan 93.7%. Purata masa pemeriksaan turut dikurangkan kepada 33 minit bagi setiap kenderaan.

Kos GEAR RM150 Berasingan Daripada Caj Pemeriksaan 

GEAR sesuai untuk mereka yang memiliki kenderaan persendirian, pembeli, atau penjual yang memerlukan janji temu segera atau fleksibiliti masa. Bayaran RM150 setiap slot ini hanya untuk hak akses keutamaan sahaja, berasingan daripada caj pemeriksaan kenderaan standard yang tetap dikenakan seperti biasa.

Slot tempahan yang biasa masih tersedia seperti sebelum ini bagi memastikan akses yang adil kepada semua pelanggan. GEAR hanyalah pilihan tambahan, bukan gantian kepada sistem sedia ada.

Jenis Pemeriksaan Yang Layak Untuk Anda Tempah

GEAR hanya terbuka untuk kenderaan persendirian dan terhad kepada tiga jenis pemeriksaan sahaja, iaitu Pemeriksaan Khas (B2), Pemeriksaan Tukar Hak Milik (MV15), dan Pemeriksaan Sewa Beli (B7).

Jadual Pelaksanaan Dua Fasa Di Seluruh Negara

Pelaksanaan GEAR seluruh negara dijalankan dalam dua fasa sepanjang Ogos 2026, dengan sehingga 80 slot ditawarkan setiap hari bagi setiap cawangan. Fasa 1 telah dilancarkan pada minggu kedua Ogos, meliputi 11 cawangan di wilayah Tengah dan Selatan, iaitu Padang Jawa, Cheras, Pandan Mewah, Banting dan Bangi di kawasan Tengah, serta Seremban, Alor Gajah, Muar, Kluang, Johor Bahru dan Senai di kawasan Selatan.

Fasa 2 pula akan bermula pada minggu keempat Ogos, meliputi 12 cawangan di wilayah Utara, Timur dan Malaysia Timur. Ini termasuk Alor Setar, Sg Petani, Teluk Kumbar, Mak Mandin, Ipoh, Gopeng dan Taiping di Utara, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan di Timur, serta Kota Samarahan di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.

Sebanyak 23 cawangan ini akan menyertai tiga cawangan perintis awal di Wangsa Maju, Glenmarie dan Batu Caves, menjadikan jumlah keseluruhan 26 pusat GEAR di seluruh Malaysia. Jika cawangan berdekatan anda berada dalam senarai ini, anda boleh mula menempah slot GEAR sebaik sahaja fasa berkenaan dilancarkan.

Cara Tempah Slot GEAR Untuk Kenderaan Anda

Anda boleh membuat tempahan terus melalui portal rasmi GiCheck di GiCheck.my. Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut mengenai ketersediaan cawangan berdekatan, semak laman web rasmi PUSPAKOM sebelum membuat tempahan.

Jimat Kos Jika Anda Tidak Memerlukan Slot Segera

Sekiranya anda tiada masalah menunggu slot tempahan biasa, anda boleh menikmati lebih banyak penjimatan kerana bayaran RM150 GEAR adalah tambahan khas untuk akses awal sahaja, bukan menggantikan caj pemeriksaan asal. Menurut laman web rasmi PUSPAKOM, kadar standard bagi tiga jenis pemeriksaan yang disenaraikan dalam GEAR adalah RM25 untuk Pemeriksaan Khas (B2) bagi kereta persendirian, RM30 untuk Pemeriksaan Tukar Hak Milik (MV15), dan RM60 untuk Pemeriksaan Sewa Beli (B7).

Jika anda menggunakan GEAR untuk salah satu pemeriksaan ini, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah RM150 tambah kadar standard di atas. Sebagai contoh, pemeriksaan sewa beli melalui GEAR berjumlah RM210, berbanding RM60 sahaja melalui slot tempahan biasa. Kadar ini mungkin berbeza mengikut jenis kenderaan. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen