Sejak pandemik COVID-19 berlalu, punca masalah kesihatan mental di Malaysia telah berubah. Kalau dulu penyalahgunaan bahan dan tekanan tempat kerja mendominasi, kini faktor kewangan dan masalah kekeluargaan semakin kerap menjadi punca utama.
Perkara ini didedahkan oleh Prof Madya Dr Muhammad Adil Zainal Abidin, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Kuliah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kemurungan Yang Tidak Dirawat Boleh Membawa Padah
Menurut Dr Muhammad Adil, pola ini sudah berubah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berdasarkan kajian melalui program kesihatan mental peringkat negeri.
Yang membimbangkan, kemurungan yang teruk dan tidak dirawat boleh merebak kepada sesuatu yang lebih serius termasuk psikosis dan delusi melampau yang boleh menyebabkan seseorang mencederakan diri sendiri atau orang terdekat.
Tragedi Cherating: Tanda Jurang Yang Perlu Ditangani
Kes pembunuhan ngeri di Taman Cherating Damai, Pahang pada bulan lepas di mana seorang suami membunuh ibu, isteri dan dua anak perempuannya sebelum membunuh diri telah mengejutkan ramai.
Dr Muhammad Adil berkata insiden familicide seperti ini mendedahkan satu masalah yang lebih besar iaitu jurang akses kepada bantuan kesihatan mental di peringkat komuniti.
Apa yang lebih merisaukan, pelaku dilaporkan tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan mental. Ini bermakna, tiada tanda amaran yang disedari lebih awal dan tiada bantuan yang sempat diberikan.
Kaunselor Di Sekolah Dan Tempat Kerja Perlu Ditambah
Susulan itu, Dr Muhammad Adil memberi beberapa cadangan sebagai penyelesaian daripada masalah sebegini terus berlaku.
Menurutnya, individu yang menunjukkan tanda-tanda awal masalah kesihatan mental perlu diberi akses mudah kepada kaunselor atau ahli psikologi, bukannya terus dirujuk ke pakar.
“Tiada gunanya meningkatkan jumlah pakar jika perkhidmatan pada peringkat awal tidak ditingkatkan,” katanya.
Langkah-langkah awal yang dicadangkan:
- Tingkatkan bilangan kaunselor di sekolah dan tempat kerja
- Majikan boleh beri insentif kepada kakitangan yang mendapatkan khidmat kaunselor atau ahli psikologi di luar
- Latih kakitangan dengan psychological first aid supaya mereka boleh bantu rakan sekerja yang memerlukan
Kenali Tanda Amaran Dalam Kalangan Orang Tersayang
Ahli keluarga juga memainkan peranan penting. Dr Muhammad Adil menggesa semua orang supaya peka terhadap perubahan tingkah laku orang sekeliling, terutama yang melibatkan:
- Perubahan pemakanan
- Perubahan raut wajah dan emosi
- Penurunan prestasi di tempat kerja atau sekolah
Jika tanda-tanda ini disedari awal, langkah intervensi masih boleh dilakukan.
Kesedaran Kesihatan Mental Masih Rendah
“Kesedaran kesihatan mental masih rendah, justeru boleh menjadi bom jangka sehingga mengakibatkan insiden lebih serius seperti tragedi pembunuhan,” kata Dr Muhammad Adil.
Beliau turut menekankan perlunya sokongan menyeluruh bukan sahaja dalam aspek kewangan melalui agensi pengurusan hutang dan institusi agama, tetapi juga rawatan kesihatan mental yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Tertekan Dengan Masalah Kewangan? Ini Yang Boleh Anda Lakukan
Jika anda atau orang sekeliling sedang bergelut dengan tekanan kewangan, jangan tunggu sehingga keadaan bertambah teruk. Ada beberapa langkah yang boleh diambil:
1. Hubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK): AKPK menawarkan khidmat kaunseling kewangan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah hutang. Mereka boleh bantu susun semula pembayaran hutang dan rancang bajet semula.
- Talian: 03-2616 7766 (Isnin – Jumaat, 9 pagi – 4 petang)
- Laman sesawang: akpk.org.my
2. Dapatkan Bantuan Kesihatan Mental: Tekanan kewangan dan kesihatan mental sering berkait rapat. Jika anda rasa terbeban secara emosional, hubungi:
- Talian Kasih: 15999 (24 jam, percuma)
- Befrienders KL: 03-7627 2929
3. Semak Kelayakan Bantuan Kerajaan: Pelbagai program bantuan kewangan tersedia termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), program zakat negeri, dan bantuan kebajikan JKM. Semak kelayakan anda melalui laman sesawang rasmi agensi berkenaan.
4. Bincang Dengan Orang Dipercayai: Kadang-kadang langkah pertama yang paling mudah ialah bercakap dengan ahli keluarga, rakan rapat atau pemimpin komuniti. Jangan tanggung beban itu seorang diri.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
