Kerajaan Kaji Dana Khas dan Insentif Cukai untuk Ringankan Kos Jaga Haiwan Peliharaan

KONGSI

Kerajaan kini dalam proses mempertimbangkan cadangan mewujudkan dana khas dalam belanjawan persekutuan serta insentif pengecualian cukai. Langkah ini diambil bagi membantu pengurusan kebajikan haiwan terbiar dan meringankan beban pemilik haiwan peliharaan. 

Jika diluluskan, lebih banyak sokongan kewangan berpotensi disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat perlindungan haiwan yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada dana sendiri.

Buat masa ini, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan sahaja. Kerajaan belum mengumumkan kadar pengecualian cukai, syarat kelayakan, atau tarikh pelaksanaan sebenar.

NGO Terpaksa Guna Duit Sendiri Selama Ini

Setiausaha Politik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Datuk Azman Abidin, berkata ketiadaan peruntukan khas selama ini memaksa kebanyakan NGO dan pusat perlindungan haiwan beroperasi secara sukarela dan bergantung sepenuhnya kepada dana sendiri untuk mengurus dan menyelamatkan haiwan terbiar.

“Perkara ini sebenarnya bukan sahaja bantu kerajaan tetapi kita tahu bahawa mereka akan menjadikan haiwan peliharaan ini sebagai sebahagian daripada keluarga mereka untuk bagi makan yang cukup dan sebagainya,” katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Majlis Dialog Bersama Agensi, NGO dan Pemain Industri Haiwan Peliharaan (Kucing dan Anjing) Malaysia pada 20 Julai 2026.

Dana Disalur Jika NGO Patuh SOP

Azman berkata sekiranya peruntukan khas diluluskan, NGO dan pusat perlindungan haiwan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebelum layak menerima dana tersebut. “Bila ada dana khas, kita boleh mohon mereka mengikut SOP yang ada untuk mendapatkan dana supaya mereka belajar bagaimana cara untuk mengurus haiwan ini,” katanya.

Pemilik Turut Digalak Jadi Lebih Bertanggungjawab

Azman turut mengaitkan pertumbuhan pesat industri haiwan peliharaan di Malaysia membuka peluang ekonomi dalam sektor makanan dan perkhidmatan veterinar, dengan tanggungjawab pemilikan yang lebih beretika dari soal kesihatan awam, keselamatan komuniti, hinggalah keharmonian kejiranan.

Azman turut memberi jaminan bahawa semua cadangan dan penambahbaikan undang-undang hasil sesi dialog itu akan dirumuskan dalam satu kertas cadangan rasmi sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Sokongan Kewangan Amat Diperlukan – NGO

Wakil NGO yang turut hadir, Jurieena Abdul Rani berkata, sokongan kewangan daripada kerajaan penting bagi membolehkan NGO membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengawal populasi kucing dan anjing terbiar. “Platform ini memang bagus sebab kita dapat bincang dan mendengar keluhan pihak lain untuk pihak atasan mengetahui apa yang kami hadapi selama ini untuk membantu haiwan ini,” katanya.

Apa Patut Pemilik Haiwan Peliharaan Buat Sekarang

Buat masa ini, tiada tindakan segera diperlukan kerana cadangan ini belum menjadi dasar rasmi. Pemilik haiwan peliharaan dan sesiapa yang menyumbang kepada NGO kebajikan haiwan boleh mula ikuti perkembangan cadangan ini, memandangkan ia berpotensi memberi kesan langsung kepada kos penjagaan haiwan terbiar dan peluang pengecualian cukai pada masa hadapan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen