CIMB Tawar Keuntungan Bonus Sehingga 5% Untuk Akaun EcoSave

KONGSI

CIMB kini sedang menganjurkan Kempen CIMB Debit Mastercard Akaun Simpanan EcoSave-i High 5 bermula 1 Julai 2026 hingga 31 Januari 2027. Kempen ini menawarkan keuntungan bonus kepada pelanggan Akaun Simpanan EcoSave-i yang memenuhi syarat simpan dan belanja tertentu.

Kadar 5% Hanya Untuk Pelanggan Baharu Yang Memohon Secara Digital 

Kadar bonus 5% setahun hanya terbuka kepada pelanggan baharu CIMB, iaitu mereka yang tidak mempunyai sebarang Akaun Semasa-i atau Akaun Simpanan-i (CASA-i) mahupun Kad Debit Mastercard CIMB sedia ada. Jika anda berada dalam kategori ini, anda perlu memohon Akaun Simpanan EcoSave-i bersama Kad Debit Mastercard CIMB melalui eForm dalam talian, serta mengaktifkan dan mengekalkan status aktif sekurang-kurangnya satu daripada CIMB Clicks atau aplikasi CIMB OCTO sepanjang tempoh kempen. 

Tiga kumpulan pelanggan lain pula hanya layak untuk kadar bonus sehingga 4% setahun iaitu:

  • Pelanggan baharu EcoSave yang memilih untuk tidak memohon secara digital perlu memohon terus di cawangan CIMB. 
  • Pelanggan sedia ada CIMB yang mempunyai akaun CASA-i lain tetapi belum memiliki EcoSave. Anda boleh memohon EcoSave secara dalam talian atau di cawangan, tetapi masih perlu melengkapkan pengaktifan akaun di cawangan CIMB sebelum layak menerima kadar bonus. 
  • Pemegang Akaun Simpanan EcoSave-i sedia ada. Anda tidak perlu memohon akaun baharu dan mereka hanya perlu mendaftar penyertaan kempen melalui salah satu kaedah yang dinyatakan di bawah. 

Pendaftaran Automatik Atau Deposit RM28 

Pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada CASA-i didaftarkan secara automatik apabila memenuhi syarat kelayakan masing-masing. Pemegang Akaun Simpanan EcoSave-i sedia ada pula perlu mendaftar penyertaan secara sendiri dengan membuat deposit berjumlah RM28 dalam satu transaksi menggunakan dana yang bukan berasal daripada mana-mana akaun CIMB, mendaftar secara dalam talian melalui laman web promosi CIMB, menghantar SMS “HIGH5” ke 62886 dengan caj RM0.15, atau mendaftar melalui aplikasi CIMB OCTO apabila menerima notifikasi. 

Simpan dan Belanja Untuk Raih Bonus

Sebelum perbelanjaan anda dikira, anda perlu mengaktifkan ciri transaksi tanpa kad atau transaksi luar negara pada Kad Debit Mastercard CIMB anda. Tanpa langkah ini, perbelanjaan bulanan yang anda penuhi tidak akan dikira layak walaupun jumlahnya mencukupi. 

Untuk layak menerima keuntungan bonus, anda juga perlu meningkatkan Baki Purata Bulanan Tambahan (IMAB) sekurang-kurangnya RM1,000 berbanding bulan sebelumnya, menggunakan dana baharu yang tidak berasal daripada akaun CASA-i, Deposit Tetap, Akaun Deposit Berjangka-i, Akaun DURIAN-i atau Akaun Pelaburan Emas CIMB yang lain. 

Anda juga perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM300 secara kumulatif setiap bulan menggunakan Kad Debit Mastercard CIMB merentasi kategori transaksi luar negara, transaksi tanpa kad seperti pembelian dalam talian (Grabfood, foodpanda, Shopee, Lazada, Booking.com, trip.com), atau pembayaran berulang seperti langganan penstriman, bayaran sekolah, dan bil telekomunikasi.

Pengeluaran tunai, transaksi yang dipulangkan atau dipertikaikan, serta tambah nilai e-dompet seperti ShopeePay, GrabPay, Touch ‘n Go, AliPay, Boost, BigPay, Wise, PayPal, dan Google Wallet tidak dikira sebagai perbelanjaan yang layak.

Bonus Dihadkan Pada RM100 Sebulan

Keuntungan bonus bagi setiap pelanggan dihadkan pada RM100 sebulan, dan dikreditkan berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ kepada 1,000 pelanggan layak pertama yang memenuhi kedua-dua syarat simpan dan belanja. Sekiranya berlaku keputusan seri, pelanggan dengan jumlah transaksi perbelanjaan layak tertinggi akan dipilih. Keuntungan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun EcoSave pelanggan dalam tempoh lapan minggu selepas setiap bulan kempen berakhir.

Sekiranya bonus tidak dikreditkan dalam tempoh tersebut, anda perlu memaklumkan CIMB dalam tempoh 16 minggu selepas tempoh kempen berakhir. Jika anda tidak melaporkan dalam tempoh ini, bonus akan dianggap telah berjaya dikreditkan walaupun sebenarnya tidak. 

Pelanggan yang mempunyai lebih daripada satu Akaun Simpanan EcoSave-i dan memenuhi syarat simpan serta belanja pada semua akaun tersebut hanya layak menerima satu pengkreditan bonus sahaja, dikira berdasarkan akaun dengan Baki Purata Bulanan tertinggi yang memenuhi syarat.

Maklumat penuh mengenai syarat kempen ini tertakluk kepada Terma dan Syarat CIMB [PDF].

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen