Seramai 60,000 pelajar di seluruh Malaysia akan mendapatkan lesen motosikal kelas B2 secara percuma tahun ini di bawah Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam (11 Mei).
Dalam majlis pelancaran di Austin International Convention Centre, Johor Baru itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut hadir bersama.
Kerajaan Bimbang Pelajar Tunggang Motosikal Ke Sekolah Tanpa Lesen Sah
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM18.5 juta untuk program ini demi memastikan para pelajar menunggang motosikal secara sah.
Menurut Anthony Loke, program ini dilaksana berikutan kebimbangan kerajaan terhadap pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen yang sah, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan akses kepada pelesenan yang sah. Selain meningkatkan kompetensi, kesedaran dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda,” kata Loke.
Statistik Kemalangan Yang Membimbangkan
Menurut Loke, lebih 6,000 kemalangan jalan raya maut berlaku setiap tahun di Malaysia. Daripada jumlah itu, 65% melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng. Yang lebih membimbangkan, kebanyakan mangsa adalah dalam lingkungan umur 16 hingga 25 tahun, termasuk pelajar sekolah.
Program MyB2S ini jelas bertujuan untuk memutuskan kitaran tersebut, dengan memastikan pelajar mempunyai lesen yang sah dan kemahiran yang betul sebelum berada di jalan raya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
