Kerajaan Perkenal Elaun Pasca Cuti Bersalin, Bantu Pekerja Wanita Selepas Lahirkan Anak

KONGSI

Kerajaan akan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin bagi menyokong penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas bersalin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif ini pada Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2026, Jumaat lalu (1 Mei).

Kenapa kerajaan buat keputusan ini?

Menurut Anwar, kadar penyertaan tenaga kerja wanita khususnya mereka yang berumur antara 25 hingga 39 tahun menunjukkan sedikit penurunan. 

Jelasnya, salah satu faktor utamanya ialah komitmen bersalin yang membuatkan sebahagian ibu terpaksa berhenti kerja.

“Rasionalnya, kita tidak mahu ibu-ibu berasa terpaksa berhenti dan meninggalkan bidang pekerjaan selepas itu, seperti yang berlaku selama ini,” kata Anwar.

Berapa banyak elaun yang akan diterima?

Elaun ini akan ditetapkan pada 80% daripada anggaran gaji bulanan pekerja wanita yang diinsuranskan dan dibayar secara sekali gus.

Ia merupakan bantuan kewangan untuk cuti tambahan sehingga 30 hari yang boleh diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari yang sedia ada.

Lebih 132,000 orang pekerja wanita di seluruh negara dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Elaun selepas cuti bersalin ini akan diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 yang dikendalikan oleh PERKESO.

Apa hak cuti bersalin pekerja wanita sekarang?

Mengikut Akta Kerja 1955, setiap pekerja wanita berhak mendapat 98 hari cuti bersalin berterusan, termasuk hari rehat dan cuti umum.

Untuk layak mendapat elaun bersalin, pekerja wanita perlu memenuhi syarat berikut:

  • Bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh sembilan bulan sebelum bersalin
  • Bekerja sekurang-kurangnya satu hari dalam tempoh empat bulan sebelum bersalin
  • Mempunyai kurang daripada lima orang anak yang masih hidup

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments