Kerajaan Umum Pakej PACE Bernilai Lebih RM710 Juta, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

KONGSI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) yang bernilai lebih RM710 juta. Pakej ini merangkumi empat inisiatif utama dan akan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Pengumuman dibuat sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Jumaat lalu (1 Mei).

Perlindungan PERKESO Diperluaskan kepada Pekerja Rentas Sempadan

Salah satu pengumuman terbesar ialah pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, yang akan membolehkan perlindungan PERKESO diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 orang yang berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari.

“Secara purata, kita kehilangan satu nyawa setiap minggu atau 54 kematian setahun, dalam kalangan pekerja rentas sempadan. Anak-anak kita bangun seawal jam 4 pagi untuk menyeberang ke Singapura dan baru pulang pada waktu malam,” katanya.

4 Inisiatif Utama Di Bawah Pakej PACE

1. RM580 juta melalui PERKESO untuk jaringan keselamatan sosial

Peruntukan terbesar dalam pakej ini disalurkan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO yang bertujuan untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dan dalam masa masa dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka.

2. RM100 juta melalui HRD Corp untuk latihan dan penempatan kerja

Dana ini disalurkan di bawah program HRD Yakin Madani yang disokong oleh platform MyFutureJobs untuk memudahkan penempatan kerja, khususnya bagi golongan belia dan kumpulan yang memerlukan sokongan.

“Kita tidak boleh ketinggalan dalam memperkukuh latihan dan penempatan kerja. Kita perlu memastikan golongan belia dan kumpulan rentan kekal kompetitif dan produktif,” katanya lagi.

3. RM20 juta melalui PTPK untuk latihan kemahiran pekerja gig

Dana ini disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), khusus untuk latihan kemahiran pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing.

4. RM10 juta melalui TalentCorp untuk PMKS dan syarikat permulaan

Geran Padanan Latihan Industri ini menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat permulaan yang menawarkan penempatan latihan industri kepada pelatih.

Pakej PACE merupakan sebahagian daripada strategi ketahanan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran pasaran buruh, termasuk perubahan yang dibawa oleh perkembangan  Kecerdasan Buatan (AI).

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments