Kerajaan Tawar Langganan AI Percuma 3 Bulan Untuk Belia Umur 18 hingga 30 Tahun

KONGSI

Kerajaan akan memberi akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka buat belia berusia 18 hingga 30 tahun yang berjaya menamatkan kursus AI di bawah platform Rakyat Digital. Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis pelancaran AI Malaysia pada Selasa lalu (28 Julai 2026).

Tawaran ini merupakan sebahagian daripada program AI Untuk Rakyat iaitu inisiatif kerajaan bagi memacu kefahaman dan penggunaan AI dalam kalangan rakyat Malaysia terutama dalam kalangan belia.

Kohort Belia Jadi Sasaran Pertama

Menurut Anwar, Kementerian Digital kini membangunkan modul kursus khusus untuk kohort belia berusia 18 hingga 30 tahun. “Belia yang melengkapkan kursus AI berkaitan akan melanggan secara percuma untuk tempoh tiga bulan dengan aplikasi AI terkemuka,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Antara Modul Kursus Yang Ditawarkan

Antara modul yang ditawarkan dalam program ini ialah Keselamatan AI, Cyber SAFE, Agentic AI, Generatif AI, dan Cloud Untuk Rakyat.

Anwar menegaskan bahawa akses percuma kepada perisian AI ini hanya terbuka kepada peserta yang benar-benar menamatkan kursus berkaitan. Ini bermakna anda tidak akan mendapat langganan tersebut semata-mata kerana mendaftar sahaja.

Bermula 31 Ogos, Sasar 100,000 Belia

Program AI Untuk Rakyat akan dibuka pada 31 Ogos 2026, bertepatan dengan Hari Merdeka, dan menyasarkan penyertaan seramai 100,000 belia. Setakat ini, butiran lanjut mengenai proses pendaftaran khusus untuk program ini belum diumumkan. 

Platform Rakyat Digital boleh diakses di portal Rakyat Digital menggunakan e-mel atau akaun Google. Namun, setakat ini ia belum jelas sama ada portal sedia ada ini turut digunakan untuk pendaftaran tawaran langganan AI percuma 3 bulan yang diumumkan Anwar, memandangkan butiran proses pendaftaran khusus untuk program tersebut belum diumumkan. 

Kerajaan juga tidak menyatakan secara spesifik penyedia perisian AI yang akan disertakan dalam langganan percuma selama tiga bulan tersebut.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen