Bank Rakyat Catat Untung RM1.9 Bilion, Dividen 18% Diagihkan Kepada Lebih 783,000 Anggota

KONGSI

Bank Rakyat menutup tahun kewangan 2025 (TK2025) dengan merekodkan keuntungan yang membanggakan. Keuntungan sebelum cukai dan zakat mencecah RM1.9 bilion. Peningkatan sebanyak 4.2% atau RM75.8 juta berbanding RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Susulan pencapaian itu, dividen sebanyak 18% telah diumumkan dengan jumlah pembayaran RM534.7 juta, menjadikan ia pembayaran dividen tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Pengagihan yang bermula pada 16 April 2026  melibatkan seramai 783,324 orang anggota.

Aset Melepasi RM131 Bilion

Pertumbuhan Bank Rakyat bukan sekadar dari segi keuntungan. Jumlah aset kumpulan melonjak 6.6% kepada RM131.0 bilion. Ia didorong oleh permintaan kukuh dalam segmen pembiayaan runcit seperti Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pajak Gadai-i.

Pembiayaan kasar keseluruhan turut berkembang sebanyak 8.6% kepada RM93.3 bilion. Angka yang melebihi purata industri perbankan Malaysia.

Strategi Deposit Membuahkan Hasil

Salah satu pencapaian ketara TK2025 ialah pertumbuhan Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i atau dikenali sebagai CASAIA, yang meningkat 15.2% kepada RM12.4 bilion.

Ini mengukuhkan Nisbah CASAIA bank kepada 14.4%, peningkatan sebanyak 129 mata asas. Deposit kos rendah yang lebih tinggi ini memberi ruang kepada bank untuk mengurus kos pembiayaan dengan lebih efisien.

Kualiti Aset Bertambah Baik, Kos Juga Semakin Terkawal

Bank Rakyat turut membuktikan disiplin dalam pengurusan risiko. Nisbah pembiayaan terjejas kasar turun daripada 1.9% kepada 1.8%. Ia secara tidak langsung mencerminkan proses penilaian kredit yang lebih ketat.

Dari sudut kecekapan operasi, nisbah kos kepada pendapatan kekal pada paras yang stabil iaitu 47.8%. Kedudukan modal pula terus kukuh dengan Nisbah Modal Berwajaran Risiko berada pada 25.6% manakala Nisbah Modal Teras di 24.2%, kedua-duanya melebihi keperluan minimum kawal selia.

Pendapatan operasi lain juga meningkat sebanyak 30.8% kepada RM938.4 juta, mencerminkan usaha bank untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan berasaskan dana.

Sumbangan Kepada Ekosistem Koperasi

Selain kepada anggota, Bank Rakyat turut menyumbang kepada ekosistem koperasi Malaysia. Bagi tahun 2025, jumlah sumbangan kepada dana koperasi mencapai RM57.0 juta iaitu lebih tinggi berbanding RM54.7 juta pada tahun sebelumnya.

Ia merangkumi RM38 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (2% daripada keuntungan) dan RM19 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (1% daripada keuntungan).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong menyatakan bahawa prestasi kewangan yang kukuh ini membolehkan Bank Rakyat mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai penghargaan kepada anggota dan pihak berkepentingan.

Hala Tuju Baharu: LEAD30

Dengan tamatnya pelan strategik BR25 (2021–2025), Bank Rakyat kini melangkah ke fasa baharu dengan LEAD30 iaitu satu Pelan Strategik Lima Tahun 2026–2030 yang berdiri atas tunjang Lean, Expansionary, Agile dan Dynamic.

Di bawah LEAD30, bank menyasarkan pertumbuhan aset pembiayaan yang berterusan, pengukuhan kedudukan dalam kalangan bank Islam terkemuka di Malaysia, serta peningkatan pendapatan berasaskan fi. Bank turut berhasrat untuk menjadi pilihan utama pelanggan melalui advokasi yang lebih kukuh, pengurangan pelepasan karbon, dan pecutan digital dalam jualan serta interaksi pelanggan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments