Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini menjadi kementerian pertama di Malaysia yang melaksanakan perolehan berimpak sosial secara rasmi, menerusi kerangka Perolehan Impak Sosial Malaysia (PRISMA).
Menurut kenyataan media KUSKOP pada 30 Julai 2026, Menteri KUSKOP iaitu Steven Sim Chee Keong telah mengumumkan tentang perkara ini semasa merasmikan Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) 2026 di Petaling Jaya. Pada majlis yang sama, 10 organisasi menandatangani PRISMA Social Pledge, satu ikrar untuk mengarusperdanakan amalan perolehan berimpak sosial dalam organisasi masing-masing.
Perusahaan Sosial Digalak Bina Model Perniagaan Mampan
Menurut Steven Sim, perusahaan sosial perlu kekal berpegang kepada misi sosialnya, namun pada masa yang sama mempunyai model perniagaan yang lestari bagi membolehkan mereka berkembang dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.
649 Syarikat Dah Ada Penarafan, Sasaran 5,000 Masih Jauh
Setakat ini, 649 perusahaan sosial berjaya mendapat penarafan rasmi KUSKOP. Ini terdiri daripada 328 Perusahaan Sosial Tunas, 253 Perusahaan Sosial Asas dan 68 Perusahaan Sosial Akreditasi.
Jumlah ini masih jauh daripada sasaran Malaysia Social Entrepreneurship Blueprint 2030 (SEMy2030), iaitu 5,000 perusahaan sosial menjelang 2025.
Yuran Penarafan Percuma Bermula 1 Ogos
Bermula 1 Ogos hingga 17 September 2026, sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan menanggung sepenuhnya yuran penarafan anda. Ini bermakna anda tidak perlu membayar RM50 untuk taraf Perusahaan Sosial Asas, atau RM300 untuk taraf Perusahaan Sosial Akreditasi.
INSKEN sendiri ialah agensi di bawah KUSKOP yang menguruskan Program Penarafan Perusahaan Sosial Malaysia. Kalau anda berjaya dapat status Perusahaan Sosial Akreditasi, anda juga layak nikmati pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027.
RM20 Juta Disediakan Untuk Pembiayaan
Selain penarafan, KUSKOP turut menyediakan hampir RM20 juta khusus untuk membantu perusahaan sosial berkembang, melalui beberapa skim. Antaranya Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial SME Bank, yang tawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 pada kadar serendah 3%, dan Program Penggalakan Koperasi sebagai Perusahaan Sosial (SERASI) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
PRISMA Galak Agensi Kerajaan Ambil Kira Impak Sosial
PRISMA ialah pendekatan baharu yang menggalakkan agensi kerajaan dan syarikat swasta mempertimbangkan impak sosial dalam aktiviti perolehan mereka, sekali gus menyokong produk dan perkhidmatan yang ditawarkan perusahaan sosial.
KUSKOP sendiri menjadi contoh. Kementerian ini menyasarkan nilai perolehan berimpak sosialnya naik kepada sekurang-kurangnya RM300,000 tahun ini, tiga kali ganda berbanding RM100,000 yang dicatatkan tahun lalu.
Ujar Steven Sim, KUSKOP akan terus membantu perusahaan sosial dalam menghadapi cabaran penarafan, pembiayaan, akses pasaran dan penskalaan perniagaan.
Jika anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat KUSKOP menerusi emel di ukk@kuskop.gov.my.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
