Tambang Percuma LRT3 Laluan Shah Alam Dilanjutkan Sehingga 14 Ogos

KONGSI

Rapid KL melanjutkan tempoh tambang percuma bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sehingga 14 Ogos 2026. Jadi, anda masih mempunyai masa untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan LRT laluan baharu ini yang menghubungkan antara Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Menerusi kenyataan rasmi di Facebook, Rapid KL berkata lanjutan ini membolehkan lebih ramai pengguna membiasakan diri dengan laluan baharu tersebut.

Bas Perantara dan Park N’ Ride Juga Percuma

Sepanjang tempoh lanjutan ini, anda boleh terus naik LRT3 Shah Alam secara percuma, termasuk perkhidmatan bas perantara dan kemudahan Park N’ Ride di stesen-stesen yang terlibat.

Rapid KL turut menggalakkan anda menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama untuk perjalanan harian, sekali gus mengurangkan kos perjalanan anda setiap hari.

Tambang Percuma Ini Sepatutnya Tamat 31 Julai

Tambang percuma LRT3 Shah Alam mula berkuat kuasa pada 29 Jun, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan pelancaran laluan ini di Depoh LRT Johan Setia, Klang, pada 28 Jun lalu. Ketika itu, tempoh percuma dijadualkan tamat pada 31 Julai sahaja.

Anda kini ada tempoh tambahan selama dua minggu untuk memanfaatkan tambang percuma ini sebelum ia tamat.

Tambang Bermula 80 Sen, Naik Sehingga RM4.90 

Selepas tempoh percuma berakhir, tambang sehala di Laluan Shah Alam bermula serendah RM0.80 dan boleh mencecah RM4.90 bagi bayaran tunai. Sekiranya anda menggunakan kaedah tanpa tunai, kadar tambang lebih murah iaitu RM4.30 bagi perjalanan terjauh antara Bandar Utama dan Johan Setia.

Kanak-kanak, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pula layak menikmati diskaun konsesi sebanyak 50% daripada tambang biasa. Bagi anda yang bakal berulang-alik setiap hari menggunakan laluan ini, contohnya antara stesen Johan Setia dan Bandar Utama, penggunaan Pas My50 adalah jauh lebih berbaloi berbanding bayar tambang harian secara berasingan. Anda boleh menyemak jadual tambang penuh di laman web Rapid KL.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen