Wise kini mempunyai akses terus kepada infrastruktur pembayaran nasional Malaysia yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet). Sambungan ini membolehkan Wise menyokong sistem DuitNow. Anda kini boleh mengimbas dan membayar DuitNow QR terus dari aplikasi Wise.
Dengan sambungan ini, Malaysia menjadi pasaran kesembilan di dunia dan kelima di rantau Asia Pasifik dengan akses terus Wise kepada sistem pembayaran domestik sesebuah negara. Pemindahan Ringgit Malaysia (MYR) turut menjadi lebih mudah.
Sambungan Terus Dapat Kurangkan Kos dan Buka Akses Untuk Bank
Malaysia menyertai rangkaian negara yang telah disambungkan terus oleh Wise, termasuk Singapura, Australia, Filipina, United Kingdom, Eropah, Hungary, Brazil, dan Jepun.
Sambungan terus kepada sistem pembayaran tempatan mengurangkan kebergantungan Wise kepada perantara. Menurut Wise, kemudahan ini dapat menurunkan kos dan mempercepatkan pemindahan wang anda dari semasa ke semasa. Syarikat itu mendakwa 77% daripada semua pemindahan kini diproses dalam masa 20 saat sahaja, dua kali ganda berbanding kadar lima tahun lalu.
Infrastruktur ini turut disediakan kepada bank dan institusi kewangan melalui Wise Platform. Rakan kongsi yang menggunakan API Wise boleh menyemak nama penerima secara masa nyata sebelum sebarang pemindahan MYR diproses.
DuitNow QR Bakal Meliputi Seluruh Negara
Ciri imbas dan bayar DuitNow QR sedang dilancarkan secara berperingkat buat masa ini, dan akan diperluaskan untuk menyokong semua kod DuitNow QR di seluruh negara dalam beberapa minggu akan datang. Sama ada anda melancong atau menetap di Malaysia, perbelanjaan harian boleh anda buat terus melalui aplikasi Wise.
“Menyambung terus kepada sistem pembayaran tempatan dan menawarkan akses kepada DuitNow QR adalah salah satu cara Wise mempermudahkan urusan pemindahan wang. Kami mahu hapuskan kerumitan dalam transaksi harian di Malaysia, dan berikan lebih kemudahan kepada pengguna,” kata Country Manager Wise Malaysia, Yen Ting Chiam.
Nombor Telefon Gantikan Nombor Akaun Untuk DuitNow Transfer
DuitNow Transfer memudahkan pemindahan domestik anda. Anda tidak perlu lagi memasukkan butiran akaun bank yang rumit. Cukup sekadar menggunakan nombor telefon bimbit atau nombor MyKad penerima. Nama penerima akan terpapar secara automatik untuk anda sahkan sebelum menyelesaikan transaksi.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
