Kerajaan telah meluluskan lebih 5,000 permohonan pemindahan kuota subsidi BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) kepada ahli keluarga terdekat. Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kemudahan ini diperkenalkan selepas Kementerian Kewangan (MOF) menerima maklum balas daripada keluarga yang kenderaan dieselnya didaftarkan atas nama ibu atau bapa, tetapi digunakan oleh anak atau ahli keluarga lain.
Johan Mahmood berkata demikian ketika mengadakan pemantauan penggunaan minyak diesel di bawah Program BUDI Diesel di Cameron Highlands.
Cara Memohon Pemindahan Kuota BUDI Diesel
Pemilik yang layak boleh mengemukakan permohonan pemindahan kuota subsidi secara dalam talian menerusi portal BUDI MADANI. Permohonan juga boleh dibuat di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam kenyataan rasminya, MOF merujuk urusan ini sebagai pemindahan kelayakan BUDI Diesel. Jadi, anda jangan keliru jika istilah itu yang muncul semasa anda memohon.
Untuk makluman, pemindahan kuota BUDI Diesel hanya melibatkan pasangan iaitu suami atau isteri, ibu atau bapa, anak atau adik beradik sahaja. Pemindahan ini juga bersifat muktamad dan sehala iaitu pemilik asal tidak lagi boleh membeli diesel bersubsidi selepas kuota dipindahkan, walaupun memiliki kenderaan diesel lain.
Pemilik Kenderaan Pikap dan Jip Dapat Tambahan 100 Liter Sebulan
Johan Mahmood berkata, MOF telah meluluskan lebih 200,000 permohonan pemilik kenderaan jenis pikap dan jip untuk menerima kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi. Sebelum ini, hampir 200,000 pemilik pikap dan jip telah diluluskan untuk menerima tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah had kelayakan mereka 300 liter sebulan bermula Julai ini.
Setakat 4 Julai, jumlah penambahan kuota yang diluluskan merangkumi lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Johan Mahmood berkata kuota tambahan ini mengambil kira penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan berkenaan, khususnya golongan peniaga dan penduduk kawasan pedalaman. Beliau mengingatkan mereka supaya tampil memohon.
Bot Diesel dan Set Jana Kuasa di Pedalaman
Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi kelayakan BUDI Diesel kepada pengguna set jana kuasa di rumah panjang dan bot di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, perbincangan dengan kerajaan negeri mendapati sesetengah pihak yang tidak memiliki kenderaan diesel tetapi bergantung pada bot diesel untuk bergerak di sungai. Senarai nama mereka diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak untuk ditambah dalam senarai penerima yang layak. Kerajaan negeri juga sedang mengumpul nama pengguna set jana kuasa di rumah panjang pedalaman untuk tujuan yang sama.
Setakat Ini Tiada Laporan Masalah MyKad
MOF turut memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95). Setakat ini pelaksanaannya berjalan lancar, tanpa sebarang laporan berhubung masalah penggunaan MyKad ketika membeli kedua-dua bahan api tersebut. Aduan juga akan dikumpulkan sekiranya ada, dan statistik penggunaan sebenar dipantau bagi menentukan sama ada ketetapan sedia ada perlu diubah.
Pada pendapat kami, jika anda memiliki pikap atau jip, semak kelayakan anda dan mohon tambahan 100 liter itu sendiri. Jika kenderaan diesel yang anda pandu masih didaftarkan atas nama ibu atau bapa, sila minta kepada mereka untuk memohon pemindahan kuota kerana hanya pemilik yang layak sahaja boleh berbuat demikian. Perkara ini perlu diambil berat kerana harga Diesel bersubsidi jauh lebih murah berbanding harga runcit dan tentunya boleh memberi kesan terhadap poket anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
