Mulai Julai 2026, harga diesel bersubsidi untuk warganegara Malaysia ditetapkan pada RM2.10 seliter di seluruh negara. Kementerian Kewangan menyatakan penurunan harga ini dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel secara seragam menggunakan mekanisme MyKad. Ia selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bintulu, Sarawak pada 21 Jun 2026.
Rakyat Malaysia Nikmati Subsidi Diesel Dengan Cara Sama
Melalui BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad. Manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membayar pada harga tanpa subsidi.
Di Sabah dan Sarawak, harga diesel bersubsidi untuk warganegara turun daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter. Pada masa yang sama, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia, bermakna bukan warganegara di kawasan ini tidak lagi layak mendapat harga bersubsidi.
Kuota BUDI Diesel Sehingga 300 Liter Sebulan
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu sidang media taklimat pembaharuan BUDI MADANI Diesel pada 22 Jun berkata, had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan bagi individu yang layak di bawah program BUDI Diesel dengan kuota boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.
Manakala bagi pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dimohon menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan. Amir Hamzah menjelaskan bahawa dianggarkan 95% pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
Siapa Yang Layak Untuk BUDI95 dan BUDI Diesel?
Untuk syarat kelayakan [PDF], semua rakyat Malaysia pemegang MyKad dengan lesen memandu aktif akan menerima kelayakan asas bulanan BUDI MADANI mengikut liter kelayakan yang ditetapkan yang boleh dimanfaatkan untuk membeli petrol RON95 bersubsidi sahaja di bawah BUDI95.
Sementara pemegang MyKad dengan lesen memandu aktif yang memiliki dan menjadi pemilik berdaftar kenderaan diesel dengan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan) yang sah layak menerima BUDI Diesel secara fleksibel untuk membeli RON95 bersubsidi atau diesel bersubsidi.
Khusus untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu jenis jip atau pikap yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan boleh memohon tambahan BUDI MADANI sebanyak 100 liter menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Kelayakan serta permohonan tambahan kuota boleh dibuat di portal rasmi BUDI MADANI.
BUDI Diesel dan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi
Sebelum ini, subsidi diesel di Semenanjung disalurkan melalui dua skim yang berbeza. Pemilik kenderaan diesel individu yang layak, petani dan pekebun kecil menerima bantuan tunai RM400 sebulan melalui BUDI Diesel Individu. Sementara itu, kenderaan logistik dan pengangkutan awam pula menggunakan sistem kad armada di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu [PDF], bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak. Penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu ini secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.
Pengguna Diesel Kini Boleh Jimat Setiap Liter
Di bawah program ini, rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel kini boleh mendapat penjimatan dengan setiap liter minyak yang diisi. Penjimatan paling tinggi adalah buat pengguna di Semenanjung Malaysia. Sejak subsidi diesel bersasar diperkenalkan pada Jun 2024, pengguna di Semenanjung Malaysia telah membayar harga runcit sebanyak RM4.37 seliter untuk diesel. Kini mereka hanya perlu membayar RM2.10 seliter dan mendapat penjimatan sebanyak RM2.27 bagi setiap liter.
Bagi mereka di Sabah dan Sarawak, perubahannya adalah lebih kecil. Diesel di kedua-dua negeri ini kini dijual pada kadar subsidi RM2.15 seliter kepada semua orang termasuk warga asing. Namun bermula Julai ini, harga subsidi akan turun sebanyak lima sen kepada RM2.10 untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa sama, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan kadar Semenanjung Malaysia iaitu RM4.37 seliter. Ini bermakna warga asing di kedua-dua negeri tersebut tidak dapat lagi menikmati harga subsidi berkenaan.
Punca Penyeragaman Subsidi Diesel
Dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah ini penting bagi memastikan subsidi hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak berbanding harga runcit tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara.
Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Untuk mengetahui kemas kini harga bahan api di Malaysia, anda boleh semak artikel harga minyak terkini kami. Sesetengah kad kredit petrol turut meliputi pembelian diesel dan menawarkan pulangan tunai.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
