Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan tiga inisiatif baharu iaitu i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan sebagai usaha untuk mengukuhkan keselamatan persaraan ahli dan memastikan simpanan mereka bertahan lebih lama.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, inisiatif ini bukan sahaja membantu ahli mengumpul simpanan, malah memastikan mereka tahu cara mengurus dan mengekalkan pendapatan selepas bersara.
“Apabila jangka hayat semakin meningkat, perancangan persaraan mestilah melangkaui sekadar mengumpul wang. Ia perlu menumpukan kepada kecukupan dan kemampanan simpanan itu sendiri,” katanya.
i-Legasi: Pindah Simpanan kepada Anak atau Pasangan
i-Legasi ini membolehkan ahli KWSP berumur 55 tahun ke atas memindahkan sebahagian simpanan mereka ke dalam akaun KWSP ahli keluarga terdekat, iaitu pasangan atau anak-anak setelah mencapai umur pengeluaran penuh.
Namun, ada syaratnya. Pemindahan hanya boleh dibuat ke atas simpanan yang melebihi paras Simpanan Mencukupi iaitu RM650,000 di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy atau RIA).
Maksudnya, wang yang dipindahkan adalah lebihan simpanan yang sedia ada untuk pengeluaran. Ia kemudian akan disalurkan ke dalam akaun simpanan persaraan penerima untuk kekal terpelihara bagi jangka panjang.
Ahli yang berumur 55 atau 60 tahun ke atas boleh memindahkan dana kepada lebih daripada seorang ahli keluarga, asalkan baki yang tinggal tidak jatuh di bawah paras Simpanan Mencukupi yang ditetapkan.
Syarat penerima pula adalah seperti berikut:
- Ahli keluarga terdekat yang belum mencapai umur persaraan minimum kebangsaan (60 tahun)
- Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap
- Merupakan ahli KWSP yang berdaftar
i-Emas: Pilih Bayaran Bulanan, Bukan Pengeluaran Sekaligus
KWSP turut menjenamakan semula kaedah pembayaran bulanan sedia ada di bawah Pengeluaran Umur 55/60 kepada nama baharu iaitu i-Emas.
Melalui kemudahan ini, ahli boleh memilih untuk menerima bayaran secara automatik setiap bulan berbanding mengeluarkan semua simpanan sekaligus apabila mencapai umur persaraan. Baki yang tinggal dalam akaun akan terus menjana dividen tahunan.
Lebih 21,000 ahli telah pun memilih kaedah pengeluaran bulanan ini apabila mencapai umur 55 atau 60 tahun, menunjukkan ramai ahli sudah sedar tentang kepentingan pendapatan persaraan yang lebih teratur.
“i-Emas memberikan fleksibiliti untuk menguruskan keperluan harian sambil melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak, serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” kata Ahmad Zulqarnain.
Kalkulator Matlamat Persaraan: Rancang Kewangan Sendiri Melalui i-Akaun
KWSP juga melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan (Retirement Goal Calculator) melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
Ciri kalkulator ini membolehkan ahli:
- Menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan perbelanjaan
- Mengenal pasti jurang simpanan yang mungkin wujud
- Menilai tahap kesediaan persaraan mereka sendiri
KWSP menyatakan ketiga-tiga inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pendekatan yang lebih menyeluruh untuk membina sistem persaraan yang holistik, merangkumi pengumpulan simpanan, pengurusan pendapatan yang mampan, serta keselamatan kewangan antara generasi.
Ingin mengetahui maklumat lanjut berkenaan KWSP, artikel kami tentang panduan lengkap akaun KWSP dan perkembangan baharu 2026 boleh membantu anda. Anda juga boleh baca artikel-artikel lain berkaitan KWSP.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
