Kerajaan baru sahaja mengumumkan satu lagi penangguhan pelaksanaan e-invois, kali ini sehingga 31 Disember 2027. Ini berita baik untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang masih bergelut dengan kos operasi akibat krisis tenaga global.
Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam (20 April) bersama langkah-langkah lain yang diambil untuk meringankan beban PMKS.
Siapa Yang Layak Dapat Penangguhan Ini?
Penangguhan e-invois selama 12 bulan ini melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta. Selain tempoh penangguhan itu, kerajaan turut meluluskan:
- Pengeluaran e-invois secara konsolidasi
- Tiada penalti dikenakan sepanjang tempoh penangguhan
RM5 Bilion Untuk Jamin Pembiayaan PMKS
Di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk menyediakan perlindungan kewangan sehingga 80%, dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun.
Ini meliputi perniagaan dalam sektor pembinaan, pertanian, agri-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.
Pengecualian Duti Import Untuk Barang Yang Tersekat
Bagi pengusaha yang menghadapi masalah eksport akibat konflik di Timur Tengah, kerajaan akan mempertimbangkan pengecualian duti import dan cukai jualan sehingga 31 Disember tahun ini.
Pengecualian duti import ini khusus untuk barangan Malaysia yang diimport semula kerana tidak berjaya dieksport keluar.
Konflik di Asia Barat Cetus Kesan Berantai Kepada Ekonomi
Anwar yang juga merupakan menteri kewangan menyatakan bahawa konflik di Asia Barat telah mencetuskan kesan berantai kepada ekonomi termasuk gangguan bekalan tenaga, kenaikan kos logistik dan insurans, serta tekanan harga input yang berterusan.
Jelasnya, kesan konflik ini dirasai oleh pedagang, pengeluar, dan petani merentasi pelbagai sektor.
Susulan itu Anwar berkata, langkah-langkah yang diambil ini adalah berasaskan maklum balas terus daripada PMKS dan bertujuan memastikan perniagaan dapat terus beroperasi.
Bukan Cabaran Sementara
Anwar turut memberi amaran bahawa ini bukan isu jangka pendek. Kerajaan akan kekal proaktif dalam memperkukuh daya tahan ekosistem perniagaan, dan akan terus bekerjasama dengan institusi kewangan serta pemain industri bagi melindungi peluang pekerjaan.
“Ini bukan cabaran sementara. Kita mesti bersedia untuk menghadapi keadaan yang berpanjangan dan meningkat,” katanya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
