Bursa Malaysia melancarkan Program Pelaburan Nasional (NIP) pada Sabtu lalu (18 April) sebagai usaha mempertingkatkan pengetahuan kewangan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai pasaran modal secara bertanggungjawab.
Program ini dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed.
Apa Itu NIP dan Siapa Yang Layak?
NIP merupakan inisiatif peringkat nasional yang direka khas untuk golongan B40 dan M40. Ia dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Bursa Malaysia, ini bermakna peserta tidak perlu membayar sebarang yuran untuk menyertai program ini.
Fasa pertama program ini menyasar seramai 550 peserta. Bagaimanapun, program ini telah menerima lebih 5,000 permohonan. Ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan orang ramai untuk belajar tentang pelaburan.
Program akan berjalan dari pertengahan April hingga Julai 2026.
Dua Peringkat Latihan
Peserta akan menjalani latihan dalam dua peringkat:
Peringkat 1 (Asas): Peringkat ini merangkumi topik seperti perancangan kewangan peribadi, tabungan dan pelaburan, kesedaran tentang penipuan kewangan, pengenalan kepada kelas aset pelaburan, serta asas membaca penyata kewangan.
Peringkat 2 (Pertengahan): Setelah menguasai asas, peserta akan didedahkan kepada teknik pelaburan yang lebih praktikal seperti kepelbagaian portfolio (portfolio diversification), analisis asas dan teknikal, psikologi dagangan, pengurusan risiko, dan pembangunan strategi pelaburan.
Pasaran Modal Malaysia Terus Berkembang
Semasa ucapan perasmian, Akmal Nasrullah menyebut bahawa pasaran modal Malaysia kini antara yang paling berkembang di rantau ini. Pada tahun 2025, saiz keseluruhan pasaran modal mencecah kira-kira RM4.3 trilion, merangkumi ekuiti, bon, kewangan Islam, dan kewangan lestari.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan pasaran perlu seiring dengan peningkatan ilmu pelabur. Mengikut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2025, kerugian pengguna global akibat penipuan kewangan mencapai kira-kira USD442 bilion pada tahun 2024. Di Malaysia sahaja, kerugian yang dilaporkan mencapai RM2.8 bilion pada tahun 2025.
“Di sebalik setiap ringgit yang hilang, ada kisah seperti pesara yang kehilangan simpanan seumur hidup, atau keluarga yang hilang dana kecemasan dalam sekelip mata,” kata Akmal Nasrullah.
Penyertaan Pelabur Runcit Terus Meningkat
Dalam pada itu, Abdul Farid pula berkata, sehingga Mac 2026, purata nilai dagangan harian pelabur runcit telah mencapai hampir RM979 juta. Antara Januari dan Mac 2026, lebih 170,000 akaun Central Depository System (CDS) baharu telah dibuka mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap pasaran ekuiti tempatan.
Terdapat juga 1.37 juta akaun CDS individu aktif setakat Disember 2025.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa penyertaan yang tinggi tidak bermakna apa-apa tanpa pemahaman yang kukuh. Susulan itu, NIP hadir untuk memastikan minat yang sedia ada disokong dengan pengetahuan dan disiplin yang betul.
Program ini turut selaras dengan Capital Market Masterplan 2026–2030 dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), khususnya dalam usaha memperkukuh pendidikan pengurusan kewangan dalam kalangan belia.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
