Malaysia Naikkan Syarat EV Import Mulai 1 Julai, Harga Minimum Kini RM200,000

KONGSI

Penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dilihat semakin meningkat. Jualan EV mencatat lonjakan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh pengecualian duti yang diperkenalkan kerajaan sejak 2022 serta kesedaran pengguna yang semakin tinggi terhadap kenderaan mesra alam.

Namun mulai 1 Julai 2026, kerajaan akan mengenakan syarat baharu ke atas EV import. Harga minimum dinaikkan dan standard prestasi motor turut dikemas kini.

Harga EV Minimum RM200,000 dan Kuasa Motor 180kW Ke Atas

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan bahawa semua EV yang diimport sepenuhnya (completely built-up, CBU) perlu memenuhi dua syarat baharu:

  • Nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum: RM200,000
  • Kuasa motor minimum: 180kW ke atas (turun daripada 200kW sebelum ini)

MITI telah memaklumkan bahawa pemegang permit dilulus francais (AP) mengenai perubahan ini semasa sesi taklimat pada 30 April lalu.

Kenapa Perubahan Ini Dilakukan?

Pengecualian khas selama empat tahun di bawah skim AP francais telah tamat pada 31 Dis 2025. Selepas itu, dasar import EV kembali kepada syarat-syarat piawainya.

Sewaktu pengecualian itu berkuat kuasa dari 2022, EV yang berharga RM100,000 ke atas layak untuk mendapat pengecualian duti. Pengecualian tersebut secara tidak langsung telah membuka pintu kepada lebih banyak model import dan merangsang persaingan dalam pasaran automotif tempatan.

Stok Lama Masih Boleh Dijual

Walaupun pengecualian sudah tamat, syarikat EV masih dibenarkan untuk menghabiskan stok sedia ada, termasuk unit di gudang, di pelabuhan dan yang masih dalam perjalanan dengan mengikut terma lama sehingga habis.

Apa Impak Kepada Harga EV?

Tanpa pengecualian duti, EV CBU kini tertakluk kepada tiga lapisan cukai yang dikenakan secara berurutan atas nilai CIF kenderaan:

  • Duti import
  • Duti eksais
  • Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 10%

Ini bermakna harga runcit EV import dijangka meningkat dengan ketara.

MITI menyatakan pihaknya tetap komited untuk memastikan dasar yang telus dan seimbang bagi menyokong industri automotif negara, sambil melindungi kepentingan pengguna.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments