PTPTN Umum Dividen 4.1% untuk Simpan SSPN, Tertinggi dalam 11 Tahun

KONGSI

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen sebanyak 4.1% bagi skim simpanan Simpan SSPN untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Ia merupakan kadar dividen tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 11 tahun.

Jumlah bayaran keseluruhan ialah RM505.68 juta kepada 6.07 juta orang pendeposit. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding RM439.87 juta yang diagihkan pada tahun sebelumnya dengan kadar dividen 4.05% pada ketika itu.

Strategi Pelaburan Yang Berhati-hati

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, prestasi kukuh ini didorong oleh peruntukan aset yang strategik. 

“Peningkatan ini disokong oleh strategi pelaburan yang bijak dalam memelihara modal sambil memberikan pulangan yang kompetitif,” katanya semasa pengumuman dividen kelmarin.

Pulangan ini dijana melalui gabungan pelaburan patuh Syariah jangka pendek dan jangka panjang dalam pasaran wang domestik serta instrumen sukuk.

Apa Itu Simpan SSPN?

Untuk makluman, Simpan SSPN ialah skim simpanan berteraskan kerajaan yang diuruskan oleh PTPTN khusus untuk membantu keluarga Malaysia menyimpan bagi tujuan pendidikan tinggi. Melihat pada  sejarah sebelum ini, kadar dividennya berada antara 2.5% hingga 4.25% dengan paras tertinggi pernah dicapai antara 2012 dan 2014.

Terdapat dua pilihan pelan di bawah skim ini iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Simpan SSPN Prime memfokuskan kepada simpanan pendidikan asas, manakala Simpan SSPN Plus pula menggabungkan simpanan dengan perlindungan takaful dan caruman bulanan berstruktur. Yang menariknya, pencarum layak mendapat pelepasan cukai pendapatan peribadi tahunan sehingga RM8,000.

Deposit Cecah RM23.88 Bilion

Pada tahun 2025, Simpan SSPN mencatatkan jumlah deposit sebanyak RM3.33 bilion, iaitu naik daripada RM3.17 bilion pada 2024. Ia menjadikan jumlah deposit terkumpul dana tersebut sebanyak RM23.88 bilion.

Lebih 500,000 akaun baharu turut dibuka sepanjang tahun lalu. Sejak skim ini bermula pada 2004, jumlah dividen yang telah dibayar kini mencecah RM2.63 bilion.

Pendeposit boleh menyemak pendapatan dividen masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 7 Mei.

Jika anda salah seorang graduan yang merupakan peminjam PTPTN, panduan kami mengenai bayaran balik PTPTN boleh membantu anda.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments