MBSB Bank Kini Sokong Samsung Wallet dan Google Pay

KONGSI

Kalau anda pelanggan MBSB Bank, kad debit anda kini boleh digunakan terus dari telefon. MBSB Bank telah mengaktifkan sokongan Samsung Wallet dan Google Pay untuk Kad Debit-i Visa, membolehkan anda melakukan pembayaran tanpa perlu mengeluarkan kad fizikal semasa membayar.

Tambah Kad Ke Dompet Digital

Anda hanya perlu tambah Kad Debit-i Visa MBSB Bank ke dalam Samsung Wallet atau Google Pay, kemudian tap telefon di kaunter seperti biasa. Ciri ini tersedia untuk peranti Android yang layak. Ia berfungsi di peniaga Visa yang mengambil bahagian, sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Transaksi Disahkan Melalui Peranti

Setiap transaksi anda disahkan menerusi peranti anda sendiri, bukannya kad. Bank turut menggunakan teknologi tokenisasi yang menggantikan nombor kad sebenar anda dengan kod digital unik bagi setiap pembayaran supaya nombor kad sebenar tidak dikongsi dengan peniaga.

18.4 bilion Transaksi Tanpa Tunai Pada 2025 

Menurut MBSB Bank, transaksi pembayaran elektronik di Malaysia meningkat 25% kepada 18.4 bilion pada tahun 2025, dengan purata 538 transaksi tanpa tunai bagi setiap rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Usman Ghouse berkata, tabiat pembayaran runcit berubah dengan pantas dan menyebabkan bank juga perlu menawarkan lebih banyak pilihan pembayaran kepada pelanggan. “Pelanggan mahukan pilihan pembayaran yang mudah, selamat dan sudah menjadi sebahagian daripada peranti yang mereka gunakan setiap hari,” katanya semasa majlis pelancaran pada 4 Ogos 2026.

Ekosistem Digital MBSB Bank yang Lain

Ciri ini menambah kepada beberapa perkhidmatan digital sedia ada MBSB Bank, termasuk Global Easy Transfer yang dikuasakan oleh Wise untuk pemindahan wang antarabangsa, dan PrimeGold-i, platform pelaburan emas digital yang boleh anda mulakan dengan RM10.

Apple Pay Akan Menyusul

Bagi pengguna iPhone pula, MBSB Bank menyatakan bahawa Apple Pay akan diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang. 

Untuk makluman anda, Samsung Wallet dan Google Pay boleh diakses menerusi platform M Journey milik MBSB Bank, yang turut berfungsi sebagai pusat untuk urusan pembayaran, pemindahan dan pelaburan anda.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen