Urusan cukai bukanlah perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila anda merancang untuk berpindah ke luar negara. Namun, apabila anda membuat keputusan untuk berpindah keluar dari Malaysia, ia tidak bermakna tanggungjawab cukai anda di sini terus terhenti. Bergantung kepada tempoh anda berada di luar negara dan sama ada anda masih mempunyai sebarang pendapatan di Malaysia, mungkin sebenarnya ada banyak perkara yang anda perlu diselesaikan.
Bagaimana Malaysia Menentukan Sama Ada Anda Masih Pemastautin Cukai
Status pemastautin anda di Malaysia bergantung kepada berapa hari anda berada di negara ini setiap tahun. Sekiranya bilangan hari anda di Malaysia kurang daripada 182 hari dalam tahun tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengklasifikasikan anda sebagai bukan pemastautin. Ia bermakna sebarang pendapatan yang anda masih peroleh di Malaysia akan dikenakan cukai rata 30%, dan anda tidak layak mendapat sebarang pelepasan cukai individu.
Sebagai contoh, sekiranya anda berlepas dari Malaysia pada 1 September 2026, anda sudah berada di sini kira-kira 243 hari. Oleh itu, LHDN menganggap anda sebagai pemastautin apabila anda memfailkan cukai pada tahun berikutnya. Namun, jika anda bertolak lebih awal iaitu pada 1 Mac 2026, anda baru berada di Malaysia sekitar 59 hari. Dalam situasi ini, anda tidak akan dikira pemastautin untuk tahun tersebut, dan layanan cukai bukan pemastautin akan terpakai.
Cukai Tertunggak Boleh Menghalang Anda Di Imigresen
LHDN mempunyai kuasa untuk menyekat anda daripada keluar dari Malaysia sekiranya anda mempunyai hutang cukai yang belum dijelaskan. Di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan, LHDN boleh mengeluarkan Perintah Sekatan Keluar Negara (Stoppage Order) yang menghalang anda daripada melepasi kaunter imigresen sehingga semua tunggakan dijelaskan sepenuhnya.
Ini berbeza daripada proses penyelesaian cukai (tax clearance) yang diuruskan oleh majikan apabila anda berhenti kerja. Ia merujuk kepada tunggakan cukai pendapatan bagi tahun-tahun terdahulu yang belum pernah dijelaskan sepenuhnya. LHDN biasanya akan menghantar beberapa surat peringatan sebelum mengambil tindakan ini, jadi ia jarang berlaku secara mengejut. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda menyemak status sekatan cukai di portal MyTax dan status perjalanan imigresen melalui Sistem Aplikasi Elektronik Jabatan Imigresen Malaysia sebelum menempah sebarang tiket penerbangan.
Surat Penyelesaian Cukai Yang Perlu Diuruskan Oleh Majikan Anda
Jika anda bakal meninggalkan Malaysia bagi tempoh melebihi tiga bulan, majikan anda wajib memaklumkan perkara ini kepada LHDN sebelum anda berlepas. Perkara ini terpakai sama ada anda berpindah secara kekal atau dihantar bertugas di luar negara untuk tempoh yang panjang. Majikan perlu mengemukakan makluman ini melalui Borang CP21 sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh pelepasan anda.
Sebaik sahaja Borang CP21 dihantar, majikan anda dikehendaki menahan gaji terakhir serta sebarang bayaran bonus anda sehingga LHDN mengeluarkan Surat Penyelesaian Cukai (SPC). Sekiranya terdapat sebarang cukai tertunggak, bayaran tersebut akan dijelaskan terlebih dahulu. LHDN biasanya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk memprosesnya, dan majikan berhak menahan bayaran gaji anda sehingga 90 hari sementara menunggu surat berkenaan.
Anda tidak boleh memfailkan Borang CP21 sendiri. Maklumkan kepada pihak sumber manusia (HR) atau penggajian anda secepat mungkin, seelok-eloknya lebih daripada sebulan sebelum anda berlepas. Penalti bagi kelewatan pemfailan dikenakan ke atas majikan dan bukannya anda, namun sebarang kelewatan tetap akan menyebabkan gaji terakhir anda dibekukan lebih lama daripada yang sepatutnya. Selagi pihak HR dimaklumkan lebih awal, proses ini selalunya berjalan lancar sebagai salah satu prosiding biasa semasa berhenti kerja.
Bagaimana Jika Anda Bekerja Sendiri Atau Bebas (Freelance)?
Borang CP21 merupakan kewajipan majikan dan tidak terpakai kepada individu yang bekerja sendiri atau pekerja bebas (freelance). Jika Anda meninggalkan Malaysia secara kekal dan memperoleh pendapatan daripada perniagaan sendiri, kerja bebas, atau perkhidmatan profesional, anda perlu pastikan semua penyata cukai yang diperlukan sudah difailkan dan sebarang cukai tertunggak sudah diselesaikan. Kalau anda tidak lagi mempunyai pendapatan bercukai di Malaysia selepas berpindah keluar dari Malaysia, anda boleh memaklumkan kepada LHDN dan buat permohonan untuk menutup fail cukai anda. Sebelum penutupan boleh dipertimbangkan, pastikan tiada bayaran cukai tertunggak atau perkara lain yang masih belum diselesaikan dengan LHDN.
Apa Yang Berlaku Kepada Cukai Ke Atas Pendapatan Yang Telah Anda Peroleh
Sebarang gaji yang anda peroleh dari Januari sehingga tarikh anda keluar dari Malaysia akan tetap dikenakan cukai untuk tahun tersebut. Inilah yang akan ditentukan semasa proses penyelesaian cukai. LHDN akan menilai kedudukan cukai anda berdasarkan pendapatan bercukai serta tanggungjawab cukai anda sehingga tarikh anda berlepas. Majikan anda mungkin perlu menahan bayaran tertentu dan menyelesaikan sebarang jumlah cukai tertunggak dengan LHDN sebelum lepaskan bayaran terakhir anda.
Anda juga perlu memfailkan borang cukai terakhir pada tahun berikutnya bagi tahun anda berlepas. Sebagai contoh, jika anda berpindah pada Oktober 2025, anda perlu memfailkan cukai pada tahun 2026 bagi pendapatan dari Januari 2025 hingga Oktober 2025. Selepas itu, anda tidak perlu lagi memfailkan cukai melainkan anda masih mempunyai pendapatan yang bersumber dari Malaysia.
Pindah Untuk Beberapa Tahun Berbeza Daripada Pindah Secara Kekal
Pemindahan sementara melebihi tiga bulan hingga beberapa tahun tetap memerlukan Borang CP21, dan fail cukai Malaysia anda akan kekal terbuka dan aktif. Anda berkemungkinan besar akan dianggap sebagai bukan pemastautin sepanjang berada di luar negara, dan status anda akan kembali menjadi pemastautin sebaik sahaja anda pulang serta memenuhi syarat bilangan hari yang ditetapkan.
Sebaliknya, berpindah secara kekal adalah cerita yang berbeza. Anda boleh memohon kepada LHDN untuk menutup fail cukai anda, tetapi hanya selepas anda tidak lagi mempunyai sebarang pendapatan yang dikenakan cukai di Malaysia dan semua kewajipan cukai telah diselesaikan. Sekiranya anda masih menerima hasil sewa daripada hartanah di Petaling Jaya, fail cukai tersebut perlu kekal terbuka dan anda wajib terus memfailkan cukai setiap tahun, walaupun dari luar negara.
| Berpindah untuk beberapa tahun | Berpindah secara kekal | |
| CP21 dan penyelesaian cukai | Diperlukan sebelum berlepas | Diperlukan sebelum berlepas |
| Status pemastautin cukai | Kembali status pemastautin bila anda pulang dan cukup kiraan hari | Menjadi bukan pemastautin (jika hari berada di Malaysia di bawah ambang) tanpa niat untuk kembali |
| KWSP | Kekal tak disentuh melainkan anda layak buat pengeluaran awal secara berasingan | Peraturan berbeza untuk warganegara dan bukan warganegara |
| Fail cukai | Kekal terbuka dan aktif | Boleh mohon penutupan sebaik tiada lagi pendapatan bercukai di Malaysia |
Kenapa Tinggalkan Malaysia Tidak Secara Automatik Membuka ‘Kunci’ KWSP Anda
Anda mungkin menganggap bahawa apabila berpindah secara kekal, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh terus dikeluarkan sebelum berlepas. Perkara ini sememangnya betul untuk warga asing dan bekas pemastautin tetap (PR), tetapi peraturan untuk warganegara Malaysia pula adalah lebih ketat. Anda cuma boleh membuat pengeluaran penuh di bawah peruntukan ini sekiranya anda secara rasmi melepaskan kewarganegaraan Malaysia. Berpindah ke luar negara dan pada masa yang sama mengekalkan pasport Malaysia walaupun anda tidak berniat untuk pulang, tidak melayakkan anda untuk membuat pengeluaran penuh. Simpanan KWSP anda akan kekal dan mendapat dividen seperti biasa, sehingga anda cukup umur pengeluaran iaitu 50 atau 55 tahun.
Apa Yang Berlaku Kepada Pendapatan Yang Masih Anda Peroleh Di Malaysia
Sekiranya anda masih memiliki hartanah di Malaysia dan menyewakannya, pendapatan sewaan tersebut kekal dikenakan cukai. Sebagai bukan pemastautin, pendapatan yang diperolehi di Malaysia umumnya dikenakan cukai di bawah peraturan cukai bukan pemastautin, dengan kadar cukai bergantung pada jenis pendapatan dan undang-undang semasa. Anda masih boleh menuntut perbelanjaan dibenarkan tertentu yang berkaitan dengan penjanaan pendapatan sewa tersebut, tertakluk kepada syarat LHDN. Sekiranya anda menjual hartanah tersebut kemudian hari, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) mungkin dikenakan bergantung kepada faktor seperti tempoh pemilikan, status cukai, dan kadar CKHT yang berkuat kuasa pada masa pelupusan.
Negara baharu yang anda berpindah mungkin juga mahu mengenakan cukai ke atas pendapatan dari Malaysia. Namun, Malaysia mempunyai Perjanjian Pengelakan Cukai Dua Kali (DTA) dengan lebih 70 buah negara untuk mengelakkan anda dikenakan cukai dua kali bagi pendapatan yang sama. Sama ada perjanjian itu merangkumi situasi anda bergantung kepada perjanjian dengan negara yang anda tuju dan bagaimana ia mengklasifikasikan pendapatan anda. Jika anda memiliki hartanah sewa, pelaburan, atau pencen di dua buah negara, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat cukai yang betul sebelum anda berlepas.
Cara Untuk Dapatkan Bantuan Sebelum Anda Berlepas
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan khusus mengenai situasi cukai anda, Unit Maklum Balas dan Perkhidmatan Pelanggan LHDN mengendalikan pertanyaan di talian 1-800-88-5436, dan anda boleh mengemukakan soalan berkaitan penyelesaian cukai terus melalui portal MyTax. Bagi situasi yang lebih kompleks seperti pendapatan hartanah, pencen luar negara, atau pelbagai sumber pendapatan rentas sempadan, anda disyorkan untuk berunding dengan ejen cukai bertauliah sebelum tarikh pelepasan anda.
Jika anda masih dalam proses menguruskan kewangan secara keseluruhan sebelum berpindah, anda boleh baca artikel mengenai panduan cukai pendapatan kami untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pemfailan, pelepasan, dan apa yang dikira sebagai pendapatan bercukai di Malaysia.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Steffi Manisha Arokiam adalah Pengarah Cukai di ThinkTx Consultants dan beliau bertanggungjawab menerajui urusan Harga Pemindahan (Transfer Pricing) dan e-Invois firma tersebut. Beliau menasihati individu dan perbadanan dalam pelbagai hal ehwal percukaian, termasuk Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), duti setem, cukai harta pusaka, dan mobiliti global bagi ekspatriat. Beliau dikenali kerana berjaya menggabungkan kepakaran teknikal yang teguh dengan pendekatan praktikal berasaskan penyelesaian. Dengan kepakaran ini, Steffi dapat membantu para pelanggan mengendali isu-isu cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Sebagai seorang pembimbing yang dihormati dalam bidang percukaian, Steffi telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional. Hasil kerja beliau telah diterbitkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD) dan Wolters Kluwer (CCH), di mana beliau memberikan pandangan tentang perkembangan cukai kontemporari. Beliau juga pernah dijemput dalam temu bual mengenai percukaian kripto bersama BFM 89.9.
Keahlian Profesional
- Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Akauntan Profesional Piagam ASEAN (ASEAN Chartered Professional Accountant – ASEAN CPA)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Jurulatih Profesional yang diperakui oleh HRD Corp
