Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Penyewaan Kediaman bagi mengimbangi hak dan perlindungan antara penyewa dan pemilik rumah di Malaysia. Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata perundangan ini akan menyediakan cara penyelesaian pertikaian sewaan yang lebih cepat, mudah dan murah.
“RUU ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan lebih seimbang antara penyewa dan pemilik rumah melalui penyediaan hak dan tanggungjawab yang lebih jelas kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada 4 Ogos 2026.
Bagi anda yang pernah berdepan pertikaian sewaan atau tidak pasti tentang hak anda sebagai penyewa mahupun pemilik rumah, RUU ini bakal menyediakan rangka kerja yang lebih jelas sebaik sahaja diluluskan dan dikuatkuasakan.
Kerajaan Tidak Bercadang Kawal Sewa Secara Menyeluruh
Menjawab soalan Senator Wong You Fong berkenaan cabaran kenaikan kadar sewa dan kemiskinan bandar dalam kalangan golongan muda, Aiman Athirah berkata kerajaan tidak bercadang mengawal kadar sewa secara menyeluruh kerana kadar pasaran dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi dan keadaan tempatan yang berbeza-beza di setiap kawasan.
Sebagai gantinya, kerajaan mengambil keputusan untuk menambah jumlah rumah sewa dengan harga mampu milik, memperkukuh perlindungan penyewa, dan memperluas akses pemilikan rumah bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran sewaan dalam jangka panjang.
Siling Jaminan SJKP Naik ke RM40 Bilion
Kerajaan juga menaikkan siling jaminan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM40 bilion. Menerusi SJKP, anda boleh mendapat jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 sebagai pembeli rumah pertama, termasuk jika anda bekerja dalam ekonomi gig dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Setakat 30 April, SJKP telah meluluskan RM27.4 bilion jaminan pembiayaan daripada 113,222 permohonan. Daripada jumlah itu, 51% penerima terdiri daripada golongan berusia 30 tahun ke bawah.
Garis Panduan Baharu untuk Pusat Jagaan Warga Emas
KPKT menerusi PLANMalaysia sedang memuktamadkan draf Garis Panduan Perancangan Fizikal Warga Emas sebelum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri. Draf ini relevan buat anda yang ada ibu bapa atau datuk nenek yang bakal memerlukan penjagaan, kerana ia menentukan nisbah pusat penjagaan dan keperluan ruang di kejiranan anda.
Draf ini mencadangkan satu pusat penjagaan bagi setiap 1,000 hingga 1,500 warga emas, atau sekurang-kurangnya satu pusat bagi setiap kejiranan berpopulasi 5,000 hingga 10,000 orang, dengan piawaian ruang minimum tiga meter persegi bagi setiap warga emas, serta sembilan meter persegi bagi setiap bilik di pusat penjagaan, untuk memastikan persekitaran yang selesa.
“Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan perancangan dan pembangunan fizikal negara mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
