MOF Bangunkan Sistem Perolehan Berkuasa AI, Elak Kes Rasuah Berleluasa

KONGSI

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sedang membangunkan sistem perolehan kerajaan baharu yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) dan semakan automatik untuk mengesan tanda amaran lebih awal sebelum berlakunya sebarang kes rasuah.

Sistem ini bukan sekadar naik taraf biasa. Ia direka untuk memantau transaksi dan kelulusan secara langsung dengan akses terkawal diberikan kepada agensi penguatkuasaan.

Ketua Pejabat Pengurusan Projek eWORKS di bahagian perolehan kerajaan MOF, Ahmad Fauzi Sungip menyatakan unitnya akan memberi tumpuan kepada pengurusan perolehan dan pendigitalan proses berkaitan.

Bila Sistem Ini Akan Mula Beroperasi?

Mengikut jadual, fasa pertama sistem baharu ini akan mula dilancarkan pada bulan Jun. Menjelang akhir tahun ini, sistem tersebut dijangka akan beroperasi sepenuhnya. 

Pengumuman ini dibuat semasa perbincangan meja bulat bersama kamar dagang perniagaan semalam (14 Mei).

Pendekatan “By Design”, Kurangkan Ruang untuk Salah Laku

Ahmad Fauzi menjelaskan sistem e-perolehan ini merupakan sebahagian daripada pendekatan “by design” MOF iaitu memanfaatkan sistem digital dan automasi untuk mengurangkan peluang berlakunya salah laku.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi kerana rasuah masih boleh berlaku apabila individu memanipulasi sistem dengan cara teknikalnya mematuhi peraturan.

Justeru, pembaharuan ini juga perlu menangani “faktor manusia”, termasuk memperkukuh latihan, etika dan disiplin institusi bersama pihak yang berkaitan.

Insentif Moral untuk Syarikat yang Berkelakuan Baik

Selain aspek pengawasan, MOF turut mempertimbangkan untuk memperkenalkan “insentif moral” dalam sistem perolehan. Syarikat yang mempunyai rekod tadbir urus dan pematuhan yang kukuh akan mendapat skor penilaian lebih tinggi dalam proses tender.

Ini boleh membantu membendung amalan “Ali Baba” dalam perolehan kerajaan, di mana pemenang tender menyerahkan kerja kepada firma lain yang lebih berkebolehan untuk melaksanakan projek tersebut.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen