Ramai pekerja bergaji di Malaysia tahu mereka wajib bayar zakat pendapatan, tapi bila ditanya berapa jumlahnya atau macam mana nak kira, jawapannya selalu kabur.
Ada yang sangka zakat pendapatan sama seperti zakat fitrah, bayar sikit je setiap tahun. Ada pula yang tidak pasti sama ada gaji mereka sudah cukup nisab atau belum. Artikel ini akan jawab semua soalan tersebut dengan angka yang konkrit.
Siapa Yang Wajib Bayar
Zakat pendapatan wajib dibayar apabila anda memenuhi semua syarat berikut secara serentak:
- Beragama Islam
- Baligh dan berakal
- Pendapatan anda melebihi nisab (nilai ambang minimum yang ditetapkan)
- Haul iaitu pendapatan tersebut sudah mencukupi tempoh setahun
Nisab dikira berdasarkan nilai 85 gram emas semasa. Untuk tahun 2026, nisab di Wilayah Persekutuan ialah RM33,996 setahun, bersamaan kira-kira RM2,833 sebulan — angka ini disahkan oleh PPZ-MAIWP. Nilai berbeza sedikit mengikut negeri kerana setiap Majlis Agama Islam menetapkan kadar masing-masing berdasarkan harga emas tempatan, jadi semak dengan lembaga zakat negeri anda untuk nilai yang tepat.
Perbezaan nisab antara negeri ini bukan sekadar soal angka, ia boleh menentukan sama ada anda wajib atau tidak wajib membayar zakat. Sebagai contoh, nisab Selangor bagi Januari hingga Jun 2026 ialah RM42,047, iaitu lebih tinggi RM8,051 berbanding WP. Ini bermakna seseorang yang bergaji RM4,500 sebulan mungkin wajib zakat di WP tetapi tidak wajib di Selangor, bergantung kepada bilangan tanggungan dan baki selepas tolak had kifayah. Itulah sebabnya penting untuk guna kalkulator lembaga zakat negeri tempat anda bekerja, bukan sekadar rujuk angka negeri lain.
Satu perkara yang ramai tidak sedar, zakat pendapatan perlu dibayar kepada lembaga zakat di negeri tempat anda bekerja, bukan negeri asal. Jadi jika anda menetap di Selangor tetapi bekerja di Kuala Lumpur, bayaran perlu dibuat kepada PPZ-MAIWP, bukan Lembaga Zakat Selangor.
Kalau baki pendapatan anda selepas tolak had kifayah kurang daripada nisab negeri tempat anda bekerja, anda tidak wajib bayar zakat pendapatan buat masa ini.
Apa Jenis Pendapatan Yang Dikira
Zakat pendapatan bukan sekadar gaji pokok. Ia meliputi semua pendapatan yang anda terima daripada usaha kerja, termasuk:
- Gaji bulanan dan bonus
- Elaun (perumahan, pengangkutan, sara hidup, dan sebagainya)
- Komisen dan insentif
- Pendapatan freelance atau kerja bebas
- Royalti
Pendapatan sewa hartanah dan dividen pelaburan pula lazimnya dikira di bawah zakat harta yang berbeza pengiraannya. Wang KWSP pula tidak dizakatkan setiap tahun semasa masih dalam akaun, tetapi wajib dizakatkan apabila dikeluarkan dan jumlahnya cukup nisab.
Dua Kaedah Pengiraan Yang Diiktiraf
Di Malaysia, terdapat dua kaedah yang diterima pakai oleh pusat zakat:
Kaedah Kasar (Pendapatan Penuh)
Kira 2.5% terus daripada jumlah pendapatan tahunan tanpa sebarang tolakan. Kaedah ini lebih mudah dan menghasilkan jumlah zakat yang lebih tinggi.
Contoh Pengiraan:
Gaji RM4,500 sebulan + elaun RM250 sebulan Jumlah setahun = RM57,000
Zakat = RM57,000 × 2.5% = RM1,425
Kaedah Bersih (Had Kifayah)
Tolak perbelanjaan asas yang dibenarkan dahulu, kemudian kira 2.5% daripada baki yang tinggal. Kaedah ini lebih adil untuk mereka yang mempunyai tanggungan ramai atau kos sara hidup yang tinggi.
Potongan yang dibenarkan merangkumi nafkah diri sendiri, isteri, anak-anak, caruman KWSP, serta Tabung Haji jika berkaitan. Jumlah yang dibenarkan untuk setiap tanggungan berbeza mengikut negeri, jadi semak panduan lembaga zakat anda untuk angka yang lebih tepat.
Contoh dengan tanggungan yang sama: Pendapatan setahun = RM57,000 Tolak perbelanjaan asas (diri + isteri + 2 anak + KWSP) = RM21,810 Baki yang layak dizakatkan = RM35,190 Zakat = RM35,190 × 2.5% = RM879.75
Perbezaan antara dua kaedah ini boleh melebihi RM500 setahun untuk pendapatan sederhana. Kedua-duanya sah dari segi syarak, jadi anda boleh pilih mana-mana satu mengikut kemampuan anda.
Jika anda bekerja di Wilayah Persekutuan, anda juga boleh membuat pengiraan dengan mengunakan kalkulator yang disediakan di laman sesawang MAIWP.
Cara Bayar Zakat Pendapatan
Anda boleh bayar melalui beberapa cara:
Dalam talian: Kebanyakan lembaga zakat negeri mempunyai portal bayaran sendiri. Antaranya ialah PPZ-MAIWP untuk Wilayah Persekutuan dan Lembaga Zakat Selangor untuk penduduk atau pekerja di Selangor. Anda juga boleh bayar melalui Maybank2u, CIMB Clicks, dan kebanyakan platform perbankan internet lain.
Potongan gaji bulanan: Sesetengah majikan menawarkan skim potongan zakat terus daripada gaji. Ini cara yang paling mudah kerana zakat dibayar sedikit demi sedikit sepanjang tahun.
Kaunter fizikal: Pusat zakat daerah, UTC, dan sebahagian cawangan bank tempatan turut menerima pembayaran zakat di kaunter.
Zakat pendapatan tidak mempunyai tarikh tetap seperti zakat fitrah. Walau bagaimanapun, kalau anda ingin mendapatkan rebat cukai LHDN untuk tahun taksiran semasa, bayaran perlu dibuat sebelum 31 Disember tahun berkenaan.
Kaitan Zakat Dengan Cukai LHDN
Ini bahagian yang ramai orang terlepas pandang. Zakat pendapatan yang dibayar kepada lembaga zakat negeri yang diiktiraf layak dituntut sebagai rebat cukai di bawah Seksyen 6A(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Rebat bermaksud zakat yang anda bayar akan ditolak terus daripada amaun cukai yang perlu dibayar, bukan sekadar mengurangkan pendapatan bercukai. Jadi kalau cukai pendapatan anda ialah RM2,000 dan anda bayar zakat sebanyak RM2,000, bil cukai anda menjadi sifar. Perlu diingat bahawa rebat ini tidak boleh melebihi jumlah cukai yang dikenakan. Jika zakat anda RM3,000 tetapi cukai anda hanya RM2,000, baki RM1,000 tidak akan dipulangkan secara tunai (melainkan melalui lebihan PCB).
Syaratnya, bayar kepada lembaga zakat negeri yang diiktiraf dan simpan resit rasmi untuk dimasukkan dalam bahagian “Rebat Cukai” semasa e-Filing LHDN.
Langkah Mudah Untuk Mula
Kalau anda belum pernah bayar zakat pendapatan atau tidak pasti di mana anda berdiri, mulakan dengan tiga perkara ini:
- Semak nisab negeri anda di laman web lembaga zakat negeri. Nilai berubah dua kali setahun mengikut harga emas.
- Gunakan kalkulator zakat dalam talian — PPZ-MAIWP dan Lembaga Zakat Selangor masing-masing menyediakan kalkulator percuma untuk mendapat angka yang tepat berdasarkan pendapatan dan tanggungan sebenar anda.
- Bayar sebelum 31 Disember jika anda ingin manfaatkan rebat cukai untuk tahun taksiran semasa.
Zakat yang tertunggak dari tahun-tahun sebelumnya masih boleh dibayar melalui Zakat Qada. Kebanyakan portal zakat negeri menyediakan pilihan ini. Kira anggaran pendapatan bagi tahun-tahun berkenaan, bandingkan dengan nisab tahun tersebut, dan bayar mengikut kadar 2.5%.
Perkara penting yang anda perlu tahu, nilai nisab berubah mengikut harga emas semasa. Semak kadar terkini di laman web lembaga zakat negeri anda sebelum membuat pengiraan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
