Laporan terbaharu dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa jumlah jawatan dalam sektor ekonomi Malaysia telah mencecah 9.23 juta pada Suku Pertama 2026, naik daripada 9.06 juta setahun sebelumnya. Jumlah ini merangkumi jawatan yang diisi (filled jobs) dan kekosongan jawatan (vacancies).
Daripada 9.23 juta tersebut, 9.03 juta jawatan telah diisi dan ia mencerminkan kadar pengisian sebanyak 97.9%. Kekosongan jawatan pula dicatat pada jumlah 194,800 iaitu 2.1% daripada keseluruhan jawatan.
Sektor Perkhidmatan Dominasi Pasaran Kerja
Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 4.84 juta jawatan, mewakili 52.5% daripada keseluruhan. Sub-sektor Perdagangan Borong dan Runcit mencatat angka tertinggi sekali iaitu 1.82 juta jawatan.
Berikut adalah pecahan mengikut sektor:
| Sektor | Jumlah Jawatan | Peratusan |
| Perkhidmatan | 4.84 juta | 52.5% |
| Pembuatan | 2.52 juta | 27.3% |
| Pembinaan | 1.28 juta | 13.9% |
| Pertanian | 502,500 | 5.4% |
| Perlombongan dan Kuari | 80,400 | 0.9% |
Kekosongan Jawatan Paling Banyak di Sektor Pembuatan
Walaupun sektor Perkhidmatan dilihat paling ramai pekerja, kekosongan jawatan tertumpu di sektor Pembuatan, iaitu sebanyak 113,000 atau 58.0% daripada keseluruhan kekosongan.
Sektor lain yang turut mencatat kekosongan ketara ialah Pertanian (32,000 / 16.4%), Perkhidmatan (24,600 / 12.7%), dan Pembinaan (24,600 / 12.6%).
6 Daripada 10 Jawatan adalah Kategori Separuh Mahir
Dari sudut kemahiran, 62.1% daripada keseluruhan jawatan berada dalam kategori separuh mahir (semi-skilled), bersamaan 5.73 juta jawatan. Kadar pengisiannya mencapai 98.1%, dengan 107,900 kekosongan masih belum diisi.
Kategori mahir (skilled) mencatat 2.33 juta jawatan (25.3%), naik 2.6% berbanding suku pertama 2025. Kadar pengisiannya adalah 97.9% dengan 48,700 kekosongan.
Kategori kurang mahir (low-skilled) pula merekodkan 1.16 juta jawatan (12.6%), naik 2.9% tahun ke tahun. Kadar pengisinnya 96.7%, dengan 38,200 kekosongan.
Kewujudan Jawatan Baharu Agak Perlahan
Sebanyak 32,700 jawatan baharu dicipta dalam suku pertama 2026, turun 1.5% berbanding tempoh sama 2025. Sektor Perkhidmatan kekal penyumbang utama dengan 15,900 jawatan (48.6%), diikuti Pembuatan (11,900/36.5%), Pembinaan (3,300/9.9%), Pertanian (1,400/4.3%), dan Perlombongan dan Kuari (200/0.7%).
Penurunan berlaku merata di semua kategori kemahiran. Kategori mahir turun 4.2% kepada 8,600 jawatan, manakala kategori kurang mahir mencatat penurunan paling ketara iaitu 8.6% kepada 3,200u jawatan sahaja.
Sebelum ini, laporan data daripada DOSM menyatakan median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia naik 4% kepada RM3,167 pada Disember 2025.
Ini merupakan paras tertinggi dalam tempoh kajian, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2025.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
