MR DIY buat julung kalinya melancarkan program kesetiaan MR.DIY Club pada 23 Julai 2026, sebuah program yang memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia atas pembelian harian mereka, sekali gus membolehkan keluarga mengumpul dan menikmati faedah bersama.
MR.DIY Club boleh disertai secara percuma dan menawarkan mata ganjaran ke atas pembelian, baucar tunai, ganjaran hari lahir, serta akses kepada acara dan bengkel eksklusif untuk ahli program.
Akaun Keluarga Boleh Kongsi Mata Ganjaran
Menurut laporan Harian Metro, Naib Presiden Kanan Pemasaran MR DIY, Alex Goh berkata, teras kepada program itu ialah ciri Akaun Keluarga yang membolehkan sehingga lima ahli keluarga menghubungkan keahlian mereka dan menggabungkan mata ganjaran di bawah satu akaun kongsi. Ini dapat membantu mereka meraih dan menebus mata ganjaran dengan lebih cepat sebagai sebuah keluarga.
Ujar beliau, ahli MR.DIY Club juga akan memperoleh satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan dan mata ganjaran yang terkumpul boleh ditebus untuk baucar tunai yang boleh digunakan bagi pembelian seterusnya.
400 Mata Alu-aluan dan Bag Setiap RM20
Menurut Alex, ahli baru akan menerima ganjaran alu-aluan segera sebanyak 400 mata serta menikmati lima kali ganda mata ganjaran biasa untuk pembelian dalam bulan kelahiran mereka. Jelasnya lagi, ahli turut memperoleh satu ‘Bag’ bagi setiap RM20 yang dibelanjakan yang memberikan mereka akses kepada acara dan bengkel eksklusif dan ‘Bag’ yang diperoleh menerusi Akaun Keluarga yang dipautkan akan digabungkan, membolehkan seluruh keluarga menikmati manfaat bersama.
SamTilla Diperkenalkan Sebagai Duta Jenama
Majlis pelancaran turut menyaksikan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, yang lebih mesra dikenali sebagai SamTilla, diperkenalkan sebagai Duta Jenama MR.DIY Club.
Roadshow MR.DIY Club berlangsung di Mid Valley Megamall dan MyTOWN Shopping Centre sehingga 26 Julai. Ahli baharu perlu memuat turun aplikasi MR.DIY Club di App Store atau Google Play dan mendaftar semasa roadshow untuk menyertai aktiviti dan berpeluang memenangi barangan eksklusif.
Alex Goh Jelaskan Sebab Program Ini Dicipta
Menurutnya lagi, program ini dicipta sebagai ucapan terima kasih kepada berjuta rakyat Malaysia yang menjadikan MR DIY sebahagian daripada kehidupan seharian mereka serta menawarkan lebih banyak nilai kepada mereka.
“Selama lebih 20 tahun, rakyat Malaysia datang ke MR DIY untuk mendapatkan keperluan mereka, sama ada bekalan bateri yang mendesak, bahan untuk projek sekolah, alatan untuk kerja pembaikan rumah atau barang keperluan harian isi rumah.
“Ramai pelanggan kami membeli-belah bersama kami sebagai keluarga, justeru kami mahu mewujudkan satu program yang memberi ganjaran bukan sahaja kepada pembeli individu, tetapi seluruh isi rumah,” katanya.
Alex berkata, MR.DIY Club membolehkan keluarga mengumpul mata ganjaran bersama, menikmati nilai yang lebih baik, serta berkongsi pengalaman melangkaui urusan pembelian di kaunter.
Data Pelanggan Bantu MR DIY Perbaiki Produk
Pelancaran MR.DIY Club menandakan satu lagi langkah dalam usaha MR DIY untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lancar, mudah, diperibadikan dan lebih berbaloi untuk pelanggannya.
Maklumat dan pandangan yang diperoleh menerusi program ini turut membantu MR DIY memahami keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dengan lebih baik serta terus menambah baik produk, faedah dan pengalaman yang ditawarkan.
Setakat ini, MR DIY mempunyai lebih 1,500 cawangan di seluruh Malaysia.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
