OTP Dijangka Diperkenalkan Hujung Tahun Ini, Beri Anda Hak Tarik Diri Awal Daripada Projek Rumah

KONGSI

KPKT dijangka memperkenalkan mekanisme ‘Option to Purchase’ (OTP) menjelang akhir tahun ini. Mekanisme ini masih dalam peringkat cadangan dan belum berkuat kuasa buat masa ini, jadi ia belum terpakai kepada pembelian rumah semasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata mekanisme ini direka untuk mencegah projek terbengkalai sejak awal lagi. “Pencegahan lebih baik daripada rawatan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 pada 10 Ogos 2026, menurut laporan Malaymail.

Macam Mana OTP Bakal Lindungi Deposit Anda

Pemaju dan anda sebagai pembeli akan diberi tempoh tertentu untuk menilai semula tahap kemajuan projek. Nga turut memberi contoh tempoh enam bulan. Jika dalam tempoh itu pemaju merasakan projek perumahan tersebut berisiko untuk mengalami kegagalan, pemaju berhak menawarkan jalan keluar kepada anda. Deposit yang anda sudah bayar akan dikembalikan sepenuhnya, tertakluk kepada terma dalam perjanjian.

Anda Mempunyai Hak Untuk Menarik Diri

Anda juga boleh menggunakan hak menarik diri dalam tempoh yang ditetapkan, misalnya jika anda menemui hartanah lain yang lebih sesuai. Tempoh ini belum disahkan sama ada serupa dengan tempoh pemaju. Dalam kes ini, anda mungkin dikenakan caj tertentu mengikut terma perjanjian.

Masalah Yang OTP Cuba Selesaikan

Tanpa OTP, pemaju mungkin terpaksa meneruskan pebinaan perumahan walaupun jualan rumah berkenaan dilihat agak perlahan. Sebaik pembinaan bermula, projek mesti disiapkan tidak kira unit terjual atau tidak, kata Nga.

Situasi ini yang berpotensi untuk membawa kepada masalah kewangan pemaju, dan anda sebagai pembeli berserta kerajaan yang berkemungkinan perlu menanggung kesannya apabila projek terbengkalai. OTP akan menjadi sebahagian daripada pakej reformasi yang turut merangkumi Housing Integrated Management System (HIMS), platform Transforming and Empowering Data Usage in Housing (TEDUH), Electronic Sale and Purchase Agreement (e-SPA), audit berkala Akaun Pemajuan Perumahan (HDA), serta Akta Pemajuan Perumahan yang baharu.

1,647 Projek Terbengkalai Sudah Diselesaikan

Sejak Pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan pada Januari 2023, KPKT telah menyelesaikan 1,647 projek bermasalah bernilai RM153 bilion setakat 10 Ogos 2026 lapor The Sun Malaysia. Hampir 200,000 pembeli rumah turut menerima manfaat.

Pada pendapat kami, sementara menunggu OTP dikuatkuasakan, semak status kewangan pemaju dan rekod projek sebelum menandatangani sebarang perjanjian jual beli.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen