Pasport Malaysia Baharu Lebih Selamat Dan Sukar Dipalsukan, Mula Dikeluarkan 1 Jun Ini

KONGSI

Pasport Malaysia bukan calang-calang ya. Pada 2025, ia menduduki tangga ketiga dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia. Kini, Jabatan Imigresen dilihat semakin kukuh dengan memperkenalkan pasport baharu yang lebih selamat dan lebih sukar dipalsukan, bermula 1 Jun 2026. 

Pasport baharu ini akan dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan, hampir dua kali ganda berbanding pasport semasa yang hanya ada 49 ciri sahaja.

Akan Mula Dikeluarkan di 4 Lokasi Ini

Pada peringkat awal, pasport baharu hanya boleh diperolehi di empat lokasi:

  • Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya
  • Pejabat Pasport Kuala Lumpur, Jalan Duta
  • Urban Transformation Centre (UTC) Wangsa Maju
  • Pejabat Imigresen Shah Alam

Pengeluaran penuh di seluruh negara dijangka selesai menjelang Julai 2026.

Apa Yang Baharu Dalam Pasport Ini?

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, antara peningkatan yang diperkenalkan dalam pasport baharu ini ialah:

  • Hologram yang dipertingkatkan
  • Cetakan ultraungu (UV)
  • Elemen visual tersembunyi
  • Ciri forensik khusus yang sukar dipalsukan

“Malah benang yang digunakan untuk ‘mengikut’ buku pasport itu sendiri mempunyai ciri keselamatannya tersendiri, dan setiap muka surat direka berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Tak Perlu Tukar Pasport Sekarang

Ramai yang mungkin terus ingin menukar pasport apabila mendengar berita ini. Tetapi Zakaria menjelaskan bahawa perkara itu tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa.

Pasport sedia ada kekal sah selagi ia masih dalam tempoh kesahan. Jika pasport anda masih berbaki lebih enam bulan, tiada keperluan untuk menukarnya sekarang. Tunggulah sehingga ia hampir tamat tempoh, baru perbaharui.

Jangan Guna Gambar AI Untuk Mohon Pasport

Zakaria turut mengingatkan orang ramai yang memohon secara dalam talian supaya menggunakan gambar yang tulen. Jangan menggunakan foto yang dijana atau diubah suai menggunakan kecerdasan buatan (AI).

“Kami telah mengesan beberapa kes di mana pemohon inginkan gambar yang lebih cantik, contohnya mencerahkan imej yang gelap atau memperelokkan penampilan mereka, lalu menggunakan AI,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pegawai Imigresen mempunyai kepakaran untuk mengesan imej yang dijana oleh AI.

Permohonan pasport baharu juga boleh dibuat secara dalam talian, tertakluk kepada kapasiti pejabat pasport masing-masing.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Malaysia akan memperkenalkan reka bentuk pasport dan MyKad baharu dalam tempoh enam bulan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri negara.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments