Pekerja gig di Malaysia kini dilindungi oleh skim keselamatan sosial sebaik sahaja mereka mendaftar dengan platform dan menerima tugasan pertama.
Ini bermakna, anda tidak perlu menunggu lama untuk mendapat perlindungan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Macam Mana Perlindungan Ini Berfungsi?
PERKESO menggunakan mekanisme perlindungan pascabayar (postpaid) yang memberikan liputan selama setahun setelah dua syarat awal dipenuhi, iaitu mendaftar dengan platform dan menerima tugasan pertama.
Yang lebih penting, status perlindungan ini kekal aktif walaupun anda tidak menerima sebarang tempahan selama beberapa hari, atau belum membayar caruman bulanan minimum sebanyak RM13.10.
Pendekatan ini telah digariskan semasa pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat. Khususnya bagi menangani kebimbangan pekerja yang memperoleh pendapatan sambilan.
Apa Kewajipan Platform Terhadap Pekerja Gig?
Seksyen 83(e) Akta 872 mewajibkan pembekal platform memaklumkan pekerja gig untuk menyelesaikan baki caruman bulanan minimum sekiranya potongan yang dibuat tidak mencapai kadar minimum berdasarkan pendapatan bulanan diinsuranskan yang dipilih di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai respons kepada kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) berkaitan jaminan dan perlindungan di bawah skim LINDUNG Kendiri.
Cara Semak Status Perlindungan Anda
Pekerja gig boleh menyemak caruman terkumpul dan status perlindungan masing-masing melalui aplikasi Prihatin.
PERKESO turut menegaskan komitmennya untuk memudahkan pelaksanaan Akta 872 dan menangani sebarang kerenah birokrasi demi memastikan hak pekerja gig terpelihara.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
