Pelajar Boleh Mula Tebus Baucar Buku MADANI RM100 Mulai Hari Ini

KONGSI

Bermula hari ini (1 Julai 2026), kira-kira 2.2 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah boleh menebus Baucar Buku MADANI bernilai RM100. Tempoh penebusan ini akan berlangsung sehingga 31 Oktober depan. Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, program bagi tahun 2026 ini dijayakan menerusi peruntukan khas berjumlah RM221.6 juta yang diluluskan oleh kerajaan.

Siapa yang Layak Menerima Baucar Ini?

Manfaat ini akan disalurkan kepada seramai 2,217,579 pelajar yang layak di seluruh negara. Kumpulan sasar ini merangkumi pelajar sekolah bermula dari Kelas Peralihan sehinggalah ke Tingkatan Enam. Selain itu, pelajar di kolej vokasional, kolej matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) turut tidak ketinggalan untuk menerima e-baucar bernilai RM100 ini.

Proses Penebusan Automatik Tanpa Perlu Memohon

Para pelajar tidak perlu mengisi mana-mana borang permohonan kerana proses pengesahan dilakukan secara automatik. Sistem akan mengenal pasti penerima yang layak berdasarkan pengkalan data sedia ada KPM. Pelajar hanya perlu log masuk ke platform BookCapital menggunakan akaun DELIMa masing-masing, dan kredit RM100 akan terus dikemas kini di dalam akaun mereka. 

Sekiranya ada pelajar yang sepatutnya layak tetapi mendapati kredit mereka masih belum dikemas kini, mereka boleh menghantar aduan terus melalui bahagian bantuan di platform tersebut. Proses penebusan dalam talian ini sudah pun diaktifkan pagi ini, melibatkan rangkaian sebanyak 1,238 peniaga buku berdaftar di bawah BookCapital.

Satu Buku Wajib Dipilih Daripada Senarai Fokus Khas 

Satu pembaharuan penting yang diperkenalkan pada tahun ini ialah pengenalan Kategori Fokus Khas MADANI. Kategori ini menyenaraikan karya sastera, buku klasik, serta bahan bacaan bukan fiksyen yang menyentuh aspek sejarah, falsafah, ekonomi, geopolitik, dan pembangunan modal insan. Bukan itu sahaja, buku-buku berkaitan sains dan teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat, digitalisasi, serta subjek STEM turut diberikan keutamaan. Setiap pelajar diwajibkan untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah buku daripada senarai fokus ini menggunakan baucar yang diberikan.

Inisiatif Tahun Ketiga yang Terbukti Impaknya

Program bantuan buku ini kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya. Mengulas mengenai kejayaan lalu, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa program ini berjaya mencatatkan kadar penebusan penuh pada tahun 2024. Kajian impak yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) turut mendedahkan hasil yang sangat positif. Sebanyak 97.5% responden bersetuju bahawa baucar ini sangat membantu meringankan beban kewangan, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah. Sementara itu, 92.2% pelajar mengakui buku yang dibeli sedikit sebanyak membantu mereka membuat persediaan yang lebih rapi untuk menghadapi peperiksaan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen