96% Celik Huruf Di Malaysia, Tapi Masih Ada Pelajar Tidak Faham Apa Yang Mereka Baca

KONGSI

Malaysia mencatatkan kadar celik huruf 96%, namun keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) 2022 mendedahkan ramai pelajar di negara ini yang boleh membaca tetapi tidak faham apa yang mereka baca.

Untuk makluman, PISA adalah ujian antarabangsa yang mengukur kemahiran membaca, matematik dan sains pelajar berusia 15 tahun di seluruh dunia, dan ia dijalankan setiap tiga tahun oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)

Dalam edisi 2022, skor Malaysia jatuh kepada 409 dalam matematik, 388 dalam membaca, dan 416 dalam sains dan ia secara tidak langsung menjadikan negara kita antara yang mencatatkan kemerosotan paling ketara sejak 2018. 

Bukan Masalah Celik Huruf, Tapi Masalah Pemahaman

Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Farah Amirah Mohd Fisal berkata, jurang ini sudah lama wujud.

“Rakyat Malaysia umumnya boleh membaca dan menulis. Tapi ramai yang masih bergelut untuk memahami, mentafsir dan menggunakan maklumat secara bermakna,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa cabaran sebenar Malaysia bukanlah dari segi celik huruf asas, tetapi kefahaman bacaan yang lebih mendalam.

Perkara ini Bukan Semata-mata Kerana Kesan Pandemik

Bank Dunia dan OECD mengakui kehilangan pembelajaran akibat penutupan sekolah semasa Covid-19 mempengaruhi keputusan PISA. Tetapi Timbalan Pengarah Minda UKM, Dr Anuar Ahmad, berkata ia bukanlah faktor utama.

“Banyak negara lain turut menutup sekolah dalam tempoh yang lama, tapi kemerosotan PISA mereka tidak sebesar Malaysia,” katanya.

Menurutnya, masalah sebenar sudah lama wujud dalam sistem pendidikan kita, iaitu cara pengajaran di dalam bilik darjah itu sendiri. 

“Jika guru masih guna soalan aras rendah semasa mengajar, kemahiran itu tidak akan ada apabila pelajar berhadapan dengan tugasan aras tinggi PISA,” ujarnya.

Beliau turut menyebut beban guru sebagai masalah besar. Kelas yang sesak, kerja pentadbiran yang banyak serta tugas bukan pengajaran menyebabkan fokus dalam kelas terganggu. 

Susulan itu, Anuar mencadangkan agar saiz kelas dikurangkan daripada 40 sehingga 45 murid kepada kira-kira 25 orang murid sahaja supaya para guru boleh memberi lebih perhatian kepada pelajar yang lemah.

Skrin Banyak, Kefahaman Cetek

Malaysia antara negara dengan purata masa dalam talian harian tertinggi di rantau ini. Golongan muda banyak menghabiskan masa dengan kandungan media sosial dan ia telah mengubah cara mereka membaca.

Pembantu pengajar Natalie berkata pelajar boleh menyebut perkataan, tetapi tak mampu untuk menjelaskan maknanya. Guru sekolah antarabangsa di Klang yang dikenali sebagai Alexandra Tan turut menyedari corak yang sama.

“Ramai pelajar tergesa-gesa menyiapkan tugasan kefahaman semata-mata untuk menyiapkan kerja tanpa berfikir.”

Neeraj pula berkata masalah sebenar bukanlah tentang isu penggunaan kosakata, tetapi keupayaan membaca maksud tersirat iaitu sesuatu yang tidak ditulis secara terang-terangan oleh penulis. 

Gaya hidup di rumah juga dikatakan tidak begitu membantu para pelajar. Guru sekolah rendah di Kota Damansara, Nur Athirah, berkata tempoh penggunaan skrin turut mempengaruhi ibu bapa, menyebabkan anak-anak kurang mendapat perhatian di rumah. Roslina Jemil, ibu kepada enam orang anak, berkata salah seorang anaknya baru fasih membaca pada Darjah Lima selepas bertahun-tahun dalam kelas pemulihan.

Kesan Kepada Pekerjaan dan Ekonomi

Kefahaman yang lemah bukan sekadar masalah akademik. Ia juga akan memberi kesan di alam pekerjaan. Presiden SME Association of Malaysia, Dr Chin Chee Seong berkata, dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), ramai pekerja boleh membaca tapi tidak faham apa yang mereka baca.

“Kemahiran kefahaman dan penulisan yang lemah sering melambatkan latihan, meningkatkan kesilapan dan menimbulkan salah faham,” jelas Dr Chin.

Beliau menegaskan Malaysia perlu menjadikan kemahiran membaca dan memahami sebagai keutamaan ekonomi. 

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai juga memberi amaran dengan menyatakan kejatuhan skor PISA Malaysia menandakan asas kognitif dan analitikal yang semakin lemah.

Penyelesaian Bermula di Rumah dan Sekolah

Dalam pada masa sama, para pakar sebulat suara menyatakan bahawa membina semula tabiat membaca perlu bermula lebih awal.

Neeraj berkata ramai kanak-kanak tidak mendapat panduan membaca yang konsisten pada tahun-tahun awal persekolahan dan ia memberi kesan kepada kefahaman serta penguasaan kosa kata mereka. 

Beliau juga menyebut kandungan ringkas seperti komik, petikan media sosial dan artikel dalam talian jarang memerlukan tumpuan yang berterusan.

“Teks yang lebih panjang mengajar kanak-kanak untuk mengikuti perkembangan watak, mengingati pelbagai butiran serentak dan merenung makna,” kata Neeraj.

Menurut laporan Bank Dunia 2024, 42% pelajar Malaysia gagal menguasai kemahiran membaca menjelang usia 11 tahun. Angka itu lebih membimbangkan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, iaitu 61%. Bank Dunia mengaitkan peratusan ini dengan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang masih tidak sekata. 

PAGE menyokong inisiatif seperti Program Anak Kita, program pemulihan nasional di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan sokongan Yayasan Hasanah yang membantu pelajar lemah dalam membaca, menulis dan mengira, terutama dari kumpulan berpendapatan rendah.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments