Bagaimana Caruman Sukarela KWSP Boleh Menambah Simpanan Persaraan Anda

KONGSI

Pekerja di Malaysia menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui potongan gaji automatik setiap bulan. Walaupun ia membantu untuk membina simpanan persaraan secara berperingkat, kadar caruman biasa mungkin tidak mencukupi untuk mencapai sasaran Simpanan Asas sebanyak RM390,000 menjelang usia 60 tahun.

Caruman sukarela membolehkan ahli menambah simpanan persaraan mereka melebihi potongan mandatori. Bagi kategori kumpulan tertentu, caruman tambahan tersebut turut disertai insentif kerajaan dan pelepasan cukai yang boleh memberikan manfaat jangka panjang yang ketara.

Caruman Sukarela Meningkatkan Kuasa Penggandaan

Semua ahli KWSP boleh membuat caruman sukarela antara RM10 hingga RM100,000 setahun melalui i-Akaun.

KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30% bagi tahun 2024 dan telah mencatatkan purata sekitar 6% setahun sepanjang dekad yang lalu, dengan jaminan minimum 2.5%. Dividen tersebut dikecualikan daripada cukai.

Manfaat kewangannya terletak pada penggandaan (compounding). Apabila anda menambah jumlah caruman, anda turut menambah baki yang menjana dividen setiap tahun. Lama-kelamaan, dividen bukan sahaja dikira ke atas caruman anda, tetapi juga ke atas dividen yang terkumpul sebelumnya.

Sebagai contoh, satu caruman yang dilakukan sebanyak RM10,000 dengan pulangan 6% setahun akan berkembang kepada kira-kira RM17,900 selepas sepuluh tahun, dengan andaian kadar dividen yang serupa. Dalam tempoh 20 atau 30 tahun, perbezaannya akan dilihat lebih ketara.

Insentif Kerajaan Memberikan Peningkatan Segera Kepada Ahli Yang Layak

Individu bekerja sendiri, pekerja freelance dan pekerja gig mungkin layak mendapat insentif tambahan di bawah program i-Saraan.

Mengikut peraturan semasa, kerajaan menyumbang 20% daripada caruman tahunan, dengan had RM500 setahun dan RM5,000 sepanjang hayat. Caruman sebanyak RM2,500 akan menerima tambahan RM500, tertakluk pada syarat kelayakan. 

Insentif tersebut meningkatkan baki permulaan sebelum dividen dikira, sekali gus menguatkan kesan penggandaan dari semasa ke semasa.

Pekerja gig pula mungkin layak di bawah i-Saraan Plus yang menyediakan insentif 20% dengan had RM600 setahun dan RM6,000 sepanjang hayat. Suri rumah berdaftar dalam sistem e-Kasih pula boleh memanfaatkan i-Suri, dengan insentif 50% dan had RM300 setahun serta RM3,000 sepanjang hayat.

Program-program ini direka untuk mengukuhkan simpanan persaraan dalam kalangan golongan yang tidak mempunyai caruman majikan.

Pelepasan Cukai Meningkatkan Kecekapan Simpanan Keseluruhan

Caruman sukarela membolehkan anda layak untuk menerima pelepasan cukai pendapatan tahunan sehingga RM7,000.

Pelepasan tersebut terbahagi kepada dua iaitu sehingga RM4,000 meliputi caruman wajib pekerja bersama caruman tambahan sukarela manakala tambahan RM3,000 lagi adalah untuk insurans hayat dan caruman tambahan KWSP.

Bagi mereka yang beradadalam kumpulan cukai 24%, menyimpan RM3,000 di bawah kategori kedua boleh mengurangkan cukai yang perlu dibayar sehingga RM720. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos efektif simpanan dan meningkatkan manfaat kewangan bersih bagi setiap caruman.

Dalam jangka masa panjang, jika penjimatan cukai ini dilaburkan semula, ia akan membantu untuk mengembangkan lagi dana persaraan.

KWSP Berbanding Pilihan Simpanan Lain

Apabila menilai caruman sukarela, adalah berguna untuk membandingkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan instrumen simpanan lain yang biasa digunakan.

Simpanan tetap (fixed deposit) umumnya menawarkan pulangan yang lebih rendah daripada kadar dividen KWSP terkini, iaitu di antara 2.5% hingga 3.5% setahun.

Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengumumkan 5.75% bagi tahun 2024, berbanding 6.30% untuk dividen KWSP. Walau bagaimanapun, ASB membenarkan pengeluaran yang lebih fleksibel, manakala sebahagian besar simpanan KWSP kekal terpelihara hingga usia 55 tahun.

Unit amanah menyasarkan pulangan kasar yang lebih tinggi, tetapi dengan yuran pengurusan tahunan antara 1.5% hingga 2%. KWSP tidak mengenakan yuran pengurusan dan menjamin dividen minimum 2.5%.

Perbezaan utamanya terletak pada pendedahan risiko, yuran dan kebolehcapaian, bukan semata-mata pada kadar pulangan.

Struktur Pengeluaran Melindungi Dana Persaraan Jangka Panjang

Caruman sukarela mengikuti rangka kerja peruntukan yang sama seperti caruman mandatori.

Sebanyak 75% diperuntukkan ke dalam Akaun Persaraan (Akaun 1) dan ia tdak boleh dikeluarkan hingga usia 55 tahun. Sebanyak 15% disalurkan ke Akaun Sejahtera (Akaun 2) untuk tujuan yang diluluskan seperti perumahan, pendidikan, kesihatan atau Haji. Baki 10% dimasukkan ke dalam Akaun Fleksibel, yang membenarkan pengeluaran pada bila-bila masa dengan jumlah minimum RM50.

Sebagai contoh, caruman sukarela sebanyak RM10,000 akan menempatkan RM1,000 dalam Akaun Fleksibel, manakala baki RM9,000 menyokong simpanan persaraan jangka panjang.

Struktur ini menggalakkan disiplin kewangan dengan mengehadkan akses kepada sebahagian besar dana.

Penanda Aras Persaraan Sebagai Rujukan Yang Jelas

KWSP telah memperkenalkan tiga penanda aras simpanan persaraan untuk membimbing ahli.

Simpanan dan Pendapatan Asas ditetapkan pada RM390,000 dan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2028. Simpanan dan Pendapatan Mencukupi pula adalah sebanyak RM650,000, manakala Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat adalah berjumlah RM1.3 juta.

Caruman sukarela boleh membantu menutup jurang bagi ahli yang masih berada di bawah penanda aras ini, terutamanya apabila caruman dibuat secara konsisten dari semasa ke semasa.

Implikasi Terhadap Perancangan Kewangan Peribadi

Caruman sukarela KWSP mengukuhkan simpanan persaraan melalui tiga mekanisme.

Pertama, ia menambah asas modal yang menjana dividen tahunan, sekali gus meningkatkan faedah berganda jangka panjang. Kedua, bagi ahli yang layak, insentif kerajaan sebanyak 20% memberikan peningkatan segera pada modal dalam had tahunan yang ditetapkan. Selain itu, pelepasan cukai mengurangkan kos efektif caruman, sekali gus meningkatkan pulangan selepas cukai.

Berbanding simpanan tetap, caruman sukarela telah memberikan pertumbuhan jangka panjang yang lebih kukuh, walaupun dengan tahap liquidity yang lebih rendah. Berbanding produk pelaburan berisiko tinggi, ia menawarkan kestabilan, jaminan dividen minimum dan tiada yuran pengurusan.

Bagi individu dengan pendapatan yang stabil, hutang yang terurus dan simpanan kecemasan yang mencukupi, caruman sukarela boleh menjadi kaedah berstruktur untuk memastikan kecukupan persaraan jangka panjang. Fungsi utamanya adalah pemeliharaan modal dan pengumpulan yang stabil, bukan liquidity jangka pendek, menjadikannya sebahagian penting dalam rangka kerja persaraan jangka panjang Malaysia.

Bagaimana Anda Boleh Mendapat Manfaat Daripada Caruman Tambahan KWSP

Jika anda hanya bergantung pada potongan wajib KWSP daripada gaji bulanan, simpanan persaraan anda bergantung sepenuhnya kepada jumlah pendapatan dan caruman majikan. Caruman sukarela memberi anda peluang untuk mengakses pelan simpanan yang selamat dan mempunyai prestasi yang baik.

KWSP telah menetapkan penanda aras Simpanan dan Pendapatan Asas, Mencukupi, dan Dipertingkat untuk persaraan, dan sebahagian besar ahli masih belum mencapai tahap Simpanan dan Pendapatan Asas tersebut. Caruman tambahan secara sukarela merupakan salah satu cara paling mudah untuk merapatkan jurang ini, kerana anda kekal menggunakan sistem KWSP yang sama. Tiada keperluan untuk membuka akaun pelaburan baharu atau mengambil risiko pasaran tambahan.

Caruman sukarela anda memperoleh dividen yang sama seperti baki KWSP yang lain, dan dividen tersebut digandakan (compounded) tahun demi tahun. Anda juga layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM4,000 setahun ke atas caruman sukarela, dan jika anda layak untuk geran padanan i-Saraan, kerajaan turut menambah ke dalam baki anda.

Untuk gambaran yang lebih jelas: seseorang yang mula membuat caruman tambahan sebanyak RM200 sebulan pada usia 28 tahun akan mengumpul baki yang jauh lebih besar apabila bersara berbanding seseorang yang mula membuat caruman yang sama pada usia 40 tahun, walaupun jumlah bulanan adalah sama. Inilah kesan penggandaan (compounding) yang berfungsi dalam tempoh masa yang lebih panjang.

Caruman sukarela ialah ciri terbina dalam sistem KWSP yang membolehkan anda menambah simpanan persaraan mengikut kemampuan dan pilihan sendiri, dengan jaminan modal serta struktur dividen yang sama seperti yang digunakan dalam akaun anda.

Mahukan lebih banyak tip kewangan? Ikuti RinggitPlus di WhatsApp atau semak panduan kami tentang akaun simpanan berfaedah tinggi dan Skim Persaraan Swasta.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments