Pelepasan Cukai RM12,000 Dan SARA RM1,800, Ini Antara Inisiatif Utama Belanjawan 2027

KONGSI

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026. Saiz keseluruhannya RM510 bilion, berbanding RM470 bilion tahun ini, termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta dan badan berkanun Persekutuan.

Antara pengumuman utama ialah kenaikan pelepasan cukai individu kepada RM12,000, SARA sehingga RM1,800 setahun untuk penerima STR dan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027. Belanjawan ini masih perlu diluluskan Parlimen, dan perubahan cukai hanya akan berkuat kuasa selepas Rang Undang-Undang Kewangan diluluskan. Bagi kebanyakan inisiatif, tarikh dan cara pelaksanaan belum diperincikan dalam ucapan belanjawan.

Penerima STR Dapat SARA Sehingga RM1,800 Setahun

Jika anda penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), anda akan mendapat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun. Peruntukan STR dan SARA dinaikkan kepada RM16 bilion daripada RM15 bilion tahun ini, untuk sehingga 9 juta penerima.

Rakyat berumur 18 tahun ke atas yang tidak menerima STR pula akan mendapat SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan 70 tahun Merdeka. Sehingga 13 juta orang termasuk golongan M40 dijangka layak.

Kerajaan bersetuju membenarkan SARA digunakan untuk membeli barangan basah dan segar di 216 Pasar Tani dan Tamu FAMA. Di Jualan Agro MADANI, ikan, ayam, sayur dan buah dijual sehingga 30% lebih murah. Sebanyak 35,000 penganjuran Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI disasarkan pada 2027.

Pelepasan Cukai Individu RM12,000 Dan Kadar Cukai Lebih Rendah

Had pelepasan cukai individu, yang tidak disemak sejak 2010, akan dinaikkan RM3,000 kepada RM12,000. Bagi pendapatan bercukai RM70,001 hingga RM100,000, kadar cukai akan turun satu mata peratusan kepada 18%. Banjaran RM100,001 hingga RM150,000 turut turun satu mata peratusan kepada 24%, manakala pendapatan melebihi RM1 juta akan dikenakan kadar 30%. Kerajaan menganggarkan kira-kira 5 juta pembayar cukai akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan sehingga RM1,600.

Contohnya, bagi pembayar cukai dalam banjaran 18%, pelepasan tambahan RM3,000 boleh mengurangkan cukai sehingga RM540 (RM3,000 × 18%), dengan andaian pendapatan bercukai kekal dalam banjaran yang sama.

Semua perubahan cukai individu ini dicadangkan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2027, iaitu bagi pendapatan yang diperoleh sepanjang 2027.

Lima pelepasan sedia ada akan diperluas. Rawatan perubatan akan meliputi penjagaan selepas bersalin sehingga RM3,000, dalam had keseluruhan RM10,000. Pelepasan penjagaan ibu bapa serta datuk nenek akan merangkumi semua perbelanjaan penjagaan, bukan kesihatan sahaja.

Kasut sukan boleh dituntut sehingga RM300 di bawah pelepasan sukan, dalam had keseluruhan RM1,000. Pelepasan yuran pengajian akan meliputi pengajian diri sendiri dalam semua bidang, serta tuisyen anak dalam bidang STEM, seni, bahasa dan agama sehingga RM2,000. Had RM2,000 ini dikongsi dengan kursus kemahiran yang tidak berkaitan pekerjaan untuk diri sendiri atau pasangan, dalam had keseluruhan RM7,000.

Pelepasan gaya hidup akan merangkumi langganan AI untuk diri sendiri, pasangan atau anak, kos mengambil haiwan peliharaan daripada pusat perlindungan haiwan berdaftar, serta pemvaksinan dan pemandulan oleh doktor veterinar berdaftar. Kesemuanya dalam had sedia ada RM2,500.

Pelepasan cukai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri, dan caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam serta Lindung Kendiri layak menerima pelepasan tambahan sehingga RM150. Sumbangan kepada universiti awam dan sumbangan tunai kepada Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah pula layak menerima potongan cukai sehingga 10% daripada pendapatan agregat.

Gaji Minimum RM2,000 Dan Insentif Untuk Pekerja Gig

Mulai Jun 2027, gaji minimum ialah RM2,000 sebulan, RM300 lebih tinggi daripada kadar semasa. Kadar baharu ini tidak terpakai kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana  (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta. Lebih 4 juta pekerja tertakluk kepada kadar ini. Kerajaan juga akan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan. Di GLIC dan GLC, penanda aras gaji sara hidup dinaikkan kepada RM3,400 sebulan untuk 230,000 pekerja.

Pakej RM160 juta bersama Grab bermula 2027 dijangka menaikkan pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median sehingga RM227 sebulan dan penghantar p-hailing sehingga RM100 sebulan. Kerajaan menawarkan insentif caruman padanan PERKESO 35% kepada kedua-dua kumpulan ini, atau 50% jika syarikat platform ikut mencarum. Lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori layak menerima padanan 70%.

Pemandu e-hailing dan p-hailing boleh menerima insentif padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup. Setiap warganegara akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun.

Pengecualian Duti Setem Untuk Rumah Pertama Sehingga RM750,000

Pengecualian penuh duti setem bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000, yang kini terpakai sehingga 31 Disember 2027, dicadangkan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Kerajaan turut mencadangkan pengecualian baharu bagi rumah pertama sehingga RM750,000, iaitu pengecualian penuh bagi RM500,000 pertama dan 50% bagi bakinya. Kedua-dua pengecualian duti setem ini meliputi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion untuk 80,000 pembeli rumah pertama, terutamanya mereka yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap. Pendaftaran Fasa 1 Bandar MADANI Bukit Jalil dibuka mulai Isnin, 12 Oktober 2026. 

Bantuan Persekolahan RM200 Dan Penangguhan Bayaran PTPTN

Ibu bapa akan menerima Bantuan Awal Persekolahan RM200 bagi setiap anak, RM50 lebih banyak daripada sebelum ini. Sebagai contoh, keluarga dengan empat anak bersekolah akan menerima RM800. Seramai 5.3 juta murid layak, dan bantuan ini disalurkan di sekolah.

Pelajar Tingkatan Enam akan menerima elaun sara hidup RM2,500, sama seperti pelajar matrikulasi. Bagi penuntut IPTA, bantuan tiket penerbangan FlySiswa naik kepada RM500.

Jika anda peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, bayaran balik anda ditangguhkan bagi tahun 2027. Peminjam berpendapatan RM2,500 hingga RM3,000 hanya perlu membayar minimum RM50. Semua peminjam yang tiada tunggakan dan membayar balik secara teratur akan menerima diskaun 10%. Majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja layak menerima potongan cukai bagi bayaran dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028. 

Premium MediAsas Boleh Dibayar Guna Akaun Sejahtera KWSP

Ahli KWSP bawah 55 tahun akan boleh membayar premium MediAsas menggunakan simpanan Akaun Sejahtera mereka. Pelan ini dilancarkan mulai Januari 2027, dan bayaran hospital di bawahnya mengikut jenis diagnosis dan rawatan supaya kos lebih mudah dijangka. PKS dengan kurang daripada 75 pekerja akan menerima subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja, terhad kepada 50 pekerja.

Penerima STR dan pasangan berumur 40 tahun ke atas ditawarkan saringan kesihatan percuma melalui PeKa B40. Mulai 2027, bil hospital swasta perlu menggunakan kategori caj yang seragam.

Cukai Jagaan Warga Emas Turun Dan Bantuan OKU Lebih Tinggi

Cukai perkhidmatan jagaan warga emas diturunkan daripada 8% kepada 6% mulai 1 Januari 2027. Yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun dikecualikan sepenuhnya. Ahli KWSP berusia 55 dan 60 tahun boleh memilih skim i-Emas untuk menerima pengeluaran bulanan.

Penerima bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik akan mendapat RM100 lebih, iaitu RM600 sebulan. Ambang pendapatan Elaun Pekerja OKU dinaikkan kepada RM2,000, tertakluk syarat kelayakan lain. Elaun bulanan murid berkeperluan pendidikan khas, termasuk anak autistik, akan dinaikkan RM50 kepada RM200 untuk 150,000 murid.

Cuti Bersalin 98 Hari Dan Pencen Minimum RM1,350

Penjawat awam yang bersalin akan boleh mengambil sehingga 98 hari cuti bagi setiap kelahiran. Jumlah kelayakan sepanjang perkhidmatan akan bertambah daripada 360 hari kepada 490 hari.

Bayaran Ex-Gratia Waris Pukal bagi kes kematian akibat kemalangan bencana kerja dinaikkan daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000, tertakluk tempoh perkhidmatan. Bayaran ini diberikan selain Ex-Gratia Waris Bulanan dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Seramai 12,000 pegawai P&P yang menunggu kenaikan pangkat akibat perjawatan terhad akan dinaikkan pangkat sekali sahaja melalui kaedah Khas Untuk Penyandang.

Kadar pencen minimum akan menjadi RM1,350 sebulan, berbanding RM1,000 sekarang. Hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan akan menerima kadar ini.

MyKomuter50 Dan Bantuan RM1,000 Untuk Pemandu Teksi

Pengguna bas dan rel Prasarana di Lembah Klang boleh terus menggunakan My50. MyKomuter50 pula akan diperkenalkan untuk pengguna KTM Komuter, dengan penjimatan purata sehingga RM160 sebulan. Pas percuma diberikan kepada 360,000 murid sekolah, komuniti OKU dan kanak-kanak bawah enam tahun.

Bantuan sekali bayar RM1,000 diberikan kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah. Bantuan ini dijadual disalurkan minggu ini, iaitu minggu selepas pembentangan belanjawan.

Ambang Bankrap RM150,000 Mulai 2027

Ambang hutang minimum untuk tindakan kebankrapan akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027.

Dasar Peluang Kedua Prihatin, yang mempercepat proses bebas bankrap, akan diperluas kepada individu bankrap yang menjadi penjaga utama ahli keluarga OKU, pesakit kronik atau warga emas. Pekerja gig dan mereka yang berpendapatan tidak tetap juga akan diliputi.

Pembukaan akaun simpanan dan akaun semasa tidak lagi dikenakan duti setem mulai 1 Januari 2027. Kad kredit asas dengan kadar faedah tidak melebihi 14% setahun kini ditawarkan oleh Alliance Bank, Maybank dan CIMB. Jika anda mahu kad kredit dengan kadar faedah lebih rendah, bandingkan pilihan kad kredit di RinggitPlus.

Pembeli penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga boleh menerima rebat NUR MADANI sehingga RM200.

Bantuan Pembaikan Rumah Mangsa Bencana Digandakan Kepada RM10,000

Kadar maksimum bantuan pembaikan rumah mangsa bencana akan digandakan kepada RM10,000 daripada RM5,000, tertakluk kelayakan. Ucapan belanjawan tidak menyatakan tarikh kadar baharu ini terpakai.

Cukai PMKS Turun Kepada 14%

Kadar cukai pendapatan PMKS akan diturunkan satu mata peratusan kepada 14% bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai dan 16% bagi banjaran RM150,000 hingga RM600,000. Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta disediakan untuk peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita.

Insentif Getah Naik Kepada RM3.30 Sekilogram

Insentif Pengeluaran Getah akan naik 30 sen kepada RM3.30 sekilogram, untuk lebih 300,000 pekebun kecil getah. Bagi pesawah, insentif penuaian padi akan naik daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim. Insentif pembajakan RM300 akan dikekalkan dan diperluas kepada pesawah Sabah dan Sarawak.

Nelayan yang layak terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter dan boleh menerima Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan.

Semak Tarikh Perjanjian Rumah Dan Resit Cukai Anda

Bagi pembeli rumah pertama sehingga RM500,000, pengecualian duti setem sedia ada masih terpakai, manakala peringkat baharu sehingga RM750,000 hanya untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027.

Pelepasan cukai yang diperluas hanya boleh dituntut bagi pendapatan 2027, iaitu dalam e-Filing pada 2028. Simpan resit pembelian seperti kasut sukan, langganan AI dan yuran tuisyen anak dalam bidang yang layak mulai Januari 2027. PTPTN belum mengumumkan sama ada penangguhan bayaran balik dibuat secara automatik atau perlu dipohon.

Teks penuh Ucapan Belanjawan 2027 [PDF] dan butiran Langkah Cukai [PDF] boleh dirujuk di laman Belanjawan Kementerian Kewangan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen