Pendapatan isi rumah rakyat Johor terus meningkat sejak 2022, menjadikan Johor antara negeri dengan pendapatan isi rumah tertinggi di Malaysia.
Angka terbaharu ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Lee Ting Han, semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Johor di Iskandar Puteri semalam (7 Mei 2026).
Berapa Banyak Pendapatan Isi Rumah Johor Meningkat?
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inilah perbandingan angka pendapatan isi rumah Johor dari 2022 kepada 2024/2025:
| 2022 | 2024/2025 | |
| Purata pendapatan isi rumah | RM8,517 sebulan | RM9,484 sebulan |
| Median pendapatan isi rumah | RM6,879 sebulan | RM7,712 sebulan |
Median pendapatan isi rumah meningkat hampir RM833 sebulan dalam tempoh dua tahun, satu petanda bahawa lebih ramai rakyat Johor menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi dan aliran masuk pelaburan ke Johor bukan sekadar di atas kertas, tetapi benar-benar diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih tinggi untuk rakyat,” kata Lee.
Kadar Pengangguran Johor Lebih Rendah Daripada Purata Nasional
Selain pendapatan, pasaran buruh Johor turut menunjukkan prestasi yang kukuh.
Menurut Tinjauan Tenaga Buruh DOSM, kadar pengangguran Johor kekal stabil pada 2.5% sehingga akhir 2025, lebih rendah berbanding purata nasional sebanyak 2.9%.
Bukan Bergantung Pada Pelaburan Asing Semata-mata
Lee turut menjelaskan bahawa ekonomi Johor bukan sekadar bersandarkan kepada pelabur luar sahaja.
Pada tahun lalu, Johor mencatatkan:
- RM49.5 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI)
- RM60.5 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI)
“Ini membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi Johor hari ini didorong bersama oleh keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa. Ini penting kerana ekonomi yang sihat memerlukan kedua-duanya berkembang seiring dan saling melengkapi,” katanya lagi.
Median Upah Bulanan Pekerja di Malaysia Naik 4% Kepada RM3,167
Sebelum ini, DOSM menerusi satu laporan yang dikeluarkan pada baru-baru ini mendedahkan median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia naik 4% kepada RM3,167 pada Disember 2025.
Ini merupakan paras tertinggi dalam tempoh kajian, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2025.
Hanya tiga negeri yang mencatatkan median upah melebihi purata nasional RM3,167 iaitu:
- Kuala Lumpur: RM4,391
- Pulau Pinang: RM3,500
- Selangor: RM3,400
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
