Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menawarkan pekerjaan kepada 6,846 bekas penghuni penjara, digelar “prospek”, sejak 2020 hingga Ogos 2026 menerusi Program Peluang Kedua Prospek, menurut laporan Bernama.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pencapaian ini menunjukkan program tersebut turut membantu golongan prospek kembali bekerja dan diterima semula dalam masyarakat. Beliau turut berkata usaha ini secara tidak langsung membantu kurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.
2.13 Juta Pekerja Asing Kini Isi Pasaran Kerja Tempatan
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku kedua 2026, sebanyak 2.13 juta atau 12.7% daripada 16.77 juta tenaga kerja negara ini terdiri daripada warga asing. Secara keseluruhan negara, data MYFutureJobs sehingga 21 Ogos 2026 menunjukkan masih terdapat 57,731 kekosongan dalam sektor pembuatan, 19,297 dalam pembinaan dan 3,283 dalam pertanian, selain ribuan lagi peluang dalam sektor lain yang memerlukan tenaga kerja tempatan.
Sehubungan itu, Khairul Firdaus berharap majikan yang bergantung kepada tenaga kerja asing turut mempertimbangkan golongan prospek sebagai sumber tenaga kerja tempatan bagi jawatan yang bersesuaian. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mega LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs & Keusahawanan “Tiada Yang Terpinggir” 2026 Zon Tengah pada 10 September 2026.
MYFutureJobs Turut Boleh Digunakan Rakyat Malaysia Lain
Kekosongan ini bukan terhad kepada golongan prospek sahaja. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang mencari kerja turut boleh menggunakan portal MYFutureJobs (myfuturejobs.gov.my), yang dikendalikan PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia, sebagai salah satu platform utama untuk mencari peluang pekerjaan mengikut kelayakan masing-masing.
Setakat 30 Jun 2026, sebanyak 96,700 peluang pekerjaan masih aktif ditawarkan menerusi platform MYFutureJobs. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, secara keseluruhan sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi platform berkenaan. Malah pada 29 Julai 2026, R. Ramanan menyatakan Sebanyak 343,836 peluang pekerjaan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan menerusi platform MYFutureJobs sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.
Angka-angka ini menunjukkan bahawa MYFutureJobs merupakan salah satu platform mencari kerja yang patut anda lihat selain platform lain seperti LinkedIn, Jobstreet, Hiredly dan banyak lagi.
Kerajaan Mahu Majikan Dan Masyarakat Beri Peluang Kedua
Khairul Firdaus berkata agenda peluang kedua ini perlukan kerjasama semua pihak. Kerajaan buka ruang, majikan beri kepercayaan, dan masyarakat, termasuk anda, terima balik golongan prospek ke dalam arus perdana.
Beliau berkata negara seperti Singapura dan Jepun turut mengamalkan pendekatan sama, iaitu menghubungkan proses pemulihan bekas banduan dengan latihan kemahiran dan penempatan kerja. “Justeru, penganjuran karnival kerjaya yang berorientasikan prospek ini adalah sebahagian inisiatif Kerajaan MADANI dalam integrasi semula mereka kembali kepada masyarakat melalui pekerjaan,” katanya.
Karnival Tawar Lebih 5,000 Peluang, IKON Awards Diperkenal Buat Pertama Kali
Menurutnya, karnival yang diadakan itu menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan untuk 800 prospek dengan penglibatan 35 majikan melibatkan pelbagai sektor, bersama lima agensi sokongan dan rakan strategik yang menyediakan sokongan latihan, kerjaya, keusahawanan dan bantuan pekerjaan.
Edisi Karnival Jelajah Nasional 2026 pula mencatatkan penyertaan 1,264 prospek dengan 59 majikan menawarkan 885 peluang. Ujar Khairul Firdaus, ini membuktikan kejayaan program tidak lagi diukur berdasarkan penempatan semata-mata, tetapi turut ambil kira sama ada prospek kekal bekerja dan berkembang dalam kerjaya jangka panjang.
Sempena karnival ini juga, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi PERKESO dan Jabatan Penjara Malaysia perkenalkan IKON Awards buat julung kalinya. Ini pengiktirafan khas untuk kisah kejayaan prospek yang berjaya bina kerjaya selepas menjalani hukuman.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
