96,700 Peluang Kerja Masih Aktif Di MYFutureJobs Setakat Jun 2026

KONGSI

Sebanyak 96,700 peluang pekerjaan masih aktif ditawarkan menerusi platform MYFutureJobs yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 30 Jun 2026. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata secara keseluruhan, sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi platform berkenaan.

Bagi anda yang sedang mencari pekerjaan atau dalam perancangan untuk bertukar kerja, MYFutureJobs merupakan salah satu platform yang sesuai untuk anda mencari kerja yang lain.

Hampir 20% Peluang Pekerjaan Aktif Tawar Gaji Atas RM5,000 

Menurut Ramanan, daripada jumlah peluang pekerjaan yang masih aktif itu, hampir 40% merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi, lebih 30% pula melibatkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala hampir 20% menawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan.

“Ini mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Julai yang dipetik Bernama.

Beliau berkata bahawa statistik itu membuktikan bahawa peluang pekerjaan terus tersedia merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran.

MYFutureJobs Sedia Sokongan Menyeluruh Kepada Pencari Kerja 

PERKESO menerusi platform MYFutureJobs bukan hanya membuat pengiklanan kerja, malah mereka turut menyediakan sokongan menyeluruh kepada pencari kerja termasuk padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, semakan resume, persediaan temu duga serta program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi membantu mereka kembali bekerja dengan lebih pantas.

“Selain platform digital, PERKESO turut memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs di seluruh negara sebagai antara inisiatif memperkasa peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

14,029 Individu Berjaya Dapat Kerja

Berkongsi lanjut, Ramanan berkata sepanjang tempoh Januari hingga Mei lepas, sebanyak 2,989 program telah dianjurkan melibatkan 86,594 pencari kerja dengan 14,029 individu telah berjaya memperoleh pekerjaan, manakala 15,809 lagi dipanggil menghadiri temu duga.

Angka ini menunjukkan bahawa peluang pekerjaan di Malaysia sentiasa ada meskipun bilangan individu yang diberhentikan kerja hampir 39,000. Data Laporan Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada April lalu juga menunjukkan jumlah penduduk bekerja meningkat daripada 16.77 juta pada Januari kepada 16.82 juta. Ia kira-kira 50,000 pekerjaan baharu dalam masa empat bulan.

Bantuan Mobiliti Sehingga RM1,000 Disediakan Kerajaan

Ujar Ramanan lagi, kerajaan juga menyediakan Bantuan Mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu pencari kerja yang perlu berpindah ke lokasi baharu untuk memulakan pekerjaan.

Beliau turut menggalakkan rakyat yang sedang mencari pekerjaan atau ingin bertukar kerjaya memanfaatkan platform MYFutureJobs sebagai pintu masuk kepada peluang pekerjaan yang lebih baik.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen