Tuntutan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di Kelantan telah melonjak empat kali ganda daripada 16 kes kepada 64 kes sejak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan skim ini pada Jun 2026. Jumlah bayaran turut mencecah RM66,691.96. Kemalangan yang berlaku kepada anda di luar waktu kerja, bukan sahaja yang berkaitan pekerjaan, turut layak dituntut bawah skim ini.
Menurut laporan Bernama, Pengarah PERKESO Kelantan, Wan Izani Wan Isa, berkata peningkatan ini menunjukkan lebih ramai pencarum mula sedar mereka dilindungi di luar waktu kerja pada bila-bila masa. Sehingga 31 Ogos, sebanyak 120 kes telah dibuat pembayaran di bawah skim itu meliputi pelbagai kejadian kemalangan.
Kes Yang Diterima Termasuk Jatuh Pokok Dan Kemalangan Ketika Memancing
Wan Izani memberi beberapa contoh kes yang diterima. Antaranya kemalangan yang tidak berkaitan dengan kerja mereka seperti terjatuh daripada pokok semasa mencantas dahan, atau tercedera semasa bersukan dan memancing. Untuk jenis kemalangan lain yang diliputi dan tidak diliputi anda boleh rujuk soalan lazim [PDF] rasmi daripada PERKESO.
Beliau turut mengingatkan corak tuntutan di Kelantan tidak semestinya sama seperti negeri lain. Jenis kemalangan yang berlaku banyak bergantung pada aktiviti harian dan persekitaran tempat tinggal pencarum.
Kecederaan Perlu Disahkan Sebelum Anda Boleh Buat Tuntutan
Kecederaan anda mesti disahkan melalui siasatan perubatan, dan anda mempunyai cuti sakit sama ada dari hospital atau klinik swasta. Selepas itu barulah tuntutan boleh dikemukakan untuk penilaian PERKESO, tertakluk kepada takrif kemalangan bukan bencana kerja dan syarat. Tiada had bayaran tetap bawah skim ini. Jumlah faedah yang anda terima bergantung pada jenis faedah, keadaan, serta tahap kecederaan yang anda alami.
Jika Berlaku Kematian, Siapa Terima Faedah Anda?
Bagi kes kemalangan yang membawa maut, faedah akan disalurkan kepada tanggungan atau waris anda yang layak, termasuk pasangan dan anak. Kalau anda tiada waris utama, PERKESO ada peruntukan untuk waris lain seperti ibu bapa, datuk nenek, dan adik-beradik. Semuanya tertakluk pada syarat kelayakan yang ditetapkan.
8.5 Juta Pekerja Pilih Untuk Kekalkan Caruman LINDUNG 24 Jam
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, pada sidang akhbar 9 September 2026 mendedahkan seramai 8.5 juta atau 87.6% pekerja Malaysia memilih untuk kekalkan caruman LINDUNG 24 Jam selepas tempoh opt-out dibuka pada 13 Julai hingga 31 Ogos 2026 bagi mereka yang tidak mahu kekal dalam skim ini . Daripada 12.4% yang memilih opt-out, 53% bekerja di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, diikuti Johor (11%) dan Pulau Pinang (9%), manakala hampir 52% daripada golongan ini bergaji bawah RM3,500 sebulan.
Tempoh opt-out yang dibuka PERKESO sebelum ini tidak akan dibuka semula, jadi pekerja yang tidak keluar dalam tempoh itu sudah tiada lagi pilihan untuk opt-out. Sebaliknya, kalau anda sudah opt-out dan berubah fikiran, anda masih boleh sertai semula pada bila-bila masa tanpa had tempoh, menerusi lindungfaedah.perkeso.gov.my.
Caruman Cuma 35 Sen Sehari, Bakal Naik Ke 1.25%
Mohammed Azman menjelaskan kadar caruman 0.75% sekarang antara yang terendah di dunia untuk jenis perlindungan sosial sebegini. Jika gaji anda berjumlah RM2,000 sebulan iaitu paras gaji minimum, itu bersamaan 35 hingga 40 sen sehari sahaja.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang, pernah mendedahkan kadar ini akan naik secara berperingkat ke 1.25% menjelang tahun keenam skim ini beroperasi. Bila kadar penuh dicapai, faedah penggantian pendapatan anda turut naik daripada 48% kepada 80%.
Majikan Tak Boleh Pecat Anda Semasa Terima Faedah
Mohammed Azman turut menyatakan majikan anda tidak boleh ambil sebarang tindakan untuk memecat atau mengeluarkan anda daripada kerja selagi anda masih menerima bayaran faedah akibat kemalangan bawah LINDUNG 24 Jam.
Jadi, kalau anda mengalami kemalangan di luar waktu kerja dan layak mendapat faedah, kerja anda akan selamat sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
