Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menurunkan harga kenderaan kompak mampu milik iaitu Perodua Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan rasmi Perodua pada 3 Ogos 2026 yang dipetik Bernama, Axia kekal sebagai pilihan mobiliti utama rakyat Malaysia. Penurunan harga ini adalah hasil daripada peningkatan berterusan kecekapan operasi syarikat, dan juga sebahagian usaha Perodua membantu anda menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.
Varian 1.0G Kini Bawah RM34,000
Di Semenanjung Malaysia, harga baharu Axia 1.0G bermula RM33,900, turun sebanyak RM4,700 daripada harga asal RM38,600. Ini merupakan penurunan harga paling besar jika dibandingkan antara kesemua varian.
| Varian | Harga Baharu | Penurunan |
| 1.0G | RM33,900 | RM4,700 (daripada RM38,600) |
| 1.0X | RM38,500 | RM1,500 (daripada RM40,000) |
| 1.0SE | RM43,000 | RM1,000 (daripada RM44,000) |
| 1.0AV | RM49,000 | RM500 (daripada RM49,500) |
Harga Di Sabah Dan Sarawak Turun Serentak
Kalau anda berada di Sabah atau Sarawak, harga baharu turut sama diguna pakai di sana:
| Varian | Harga Baharu | Penurunan |
| 1.0G | RM35,900 | RM4,700 (daripada RM40,600) |
| 1.0X | RM40,500 | RM1,500 (daripada RM42,000) |
| 1.0SE | RM45,000 | RM1,000 (daripada RM46,000) |
| 1.0AV | RM51,000 | RM500 (daripada RM51,500) |
Untuk makluman anda, harga di atas tidak termasuk kos insurans. Jadi, sila ambil kira perkara ini dalam bajet anda sebelum membuat tempahan.
Perodua Mahu Kurangkan Tekanan Kos Rakyat
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, harga baharu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan mengurangkan tekanan kos yang rakyat Malaysia hadapi.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya.
Spesifikasi Axia Kekal Sama
Menurutnya, spesifikasi dan piawaian kualiti Axia kekal sama seperti sebelum ini. Penjimatan yang diperoleh datang daripada penambahbaikan dalam proses dan kecekapan operasi.
“Pengurangan harga yang dibuat ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan mampan serta kerjasama yang baik dengan pembekal dan rakan kongsi kami dalam ekosistem automotif.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama, bukan sahaja pemain industri, malah seluruh rakyat Malaysia,” kata Zainal Abidin.
Pada pendapat kami, penurunan harga Perodua Axia yang diumumkan ini boleh diketengahkan bagi anda yang sedang dalam perancangan untuk memiliki sebuah kereta kompak segmen A dengan bayaran bulanan yang rendah.
Malah, Perodua juga sebelum ini mengumumkan harga servis penyelenggaraan kenderaan diturunkan sehingga 10%. Ini termasuklah alat ganti, pemeriksaan dan kos buruh. Ia juga terpakai untuk semua model Perodua termasuk kenderaan elektrik QV-E. Jadi, ia sekali gus dapat memberikan penjimatan berganda untuk anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
