Perodua Turunkan Harga Servis dan Alat Ganti Sehingga 10%

KONGSI

Mulai 19 Jun 2026, harga servis penyelenggaraan kenderaan Perodua diturunkan sehingga 10%. Ini termasuklah alat ganti, pemeriksaan dan kos buruh. Ia juga terpakai untuk semua model Perodua termasuk kenderaan elektrik QV-E.

Sebagai pemilik kenderaan Perodua, anda hanya perlu membawa kereta ke mana-mana pusat servis bertauliah dan harga baharu itu sudah terpakai secara automatik.

Bagi lebih 5 juta pemilik kenderaan Perodua di Malaysia, pengurangan ini dapat memberi penjimatan terhadap kos servis jangka masa panjang anda. Pengumuman ini juga boleh menjadi satu peringatan kepada semua pemilik kereta supaya mengira semula bajet kos kenderaan tahunan.

Berapa Sebenarnya Yang Anda Dapat Jimat?

Perodua menjangkakan penjimatan purata sekitar 10% pada bil servis keseluruhan. Jumlah sebenar bergantung kepada model kenderaan dan jenis servis yang dilakukan. Untuk tahu dengan tepat berapa yang anda jimat, semak terus dengan pusat servis bertauliah Perodua berhampiran anda.

Kenapa Pentingnya Servis Di Pusat Servis Bertauliah 

Ramai pemilik kereta yang memilih bengkel luar kerana harganya lebih murah dan pilihan itu sememangnya tidak salah. Namun, memilih pusat servis bertauliah juga mempunyai banyak kelebihannya seperti:

Nilai jualan semula kereta

Bila anda nak jual kereta, perkara pertama yang pembeli akantanya ialah buku servis. Rekod yang konsisten di pusat berlesen membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga baik. Ini boleh bagi anda kelebihan dalam rundingan harga, terutama untuk kereta berumur tiga hingga tujuh tahun.

Alat ganti tulen

Alat ganti tulen direka khusus untuk model kenderaan itu dan biasanya disertakan sekali dengan jaminan. Alat ganti pihak ketiga mungkin lebih murah, tapi kualiti dan kesesuaiannya tidak setanding dengan alat ganti yang tulen. 

Waranti kenderaan

Jika kenderaan anda masih dalam tempoh waranti, ini adalah perkara yang perlu anda ambil serius. Servis atau perbaiki kereta di luar pusat servis bertauliah berisiko menjejaskan tuntutan waranti anda sekiranya berlaku kerosakan pada komponen yang berkaitan. 

Bagi kebanyakan jenama, waranti lazimnya meliputi tempoh lima tahun atau 100,000 km, yang mana tiba dahulu. Sepanjang tempoh ini, sebarang kerosakan yang dituntut di bawah waranti boleh ditolak jika rekod servis menunjukkan kenderaan tidak diservis di pusat servis bertauliah.

Selain servis, waranti juga boleh terbatal akibat pengubahsuaian tertentu pada kenderaan. Antara perkarabiasa yang menyebabkan waranti terbatal termasuklah pengubahsuaian pada sistem enjin dan sistem eletronik.

Panduan Bajet Kos Penyelenggaraan Kereta Tahunan

Panduan ini adalah untuk semua pemilik kereta di Malaysia. Kos penyelenggaraan kenderaan tidak boleh diabaikan dalam perancangan kewangan kerana ia merupakan perbelanjaan tetap yang boleh diramal dari awal tahun.

Kategori PerbelanjaanAnggaran Tahunan
Servis berkala (2x setahun)RM400 – RM800
Bateri (setiap 2-3 tahun)RM200 – RM400
Tayar (setiap 3-4 tahun)RM800 – RM1,600
Brek pad (setiap 2-3 tahun)RM200 – RM500
Penyelenggaraan lainRM200 – RM500

Perlu diingatkan, kos di atas hanyalah anggaran semata-mata dan ia boleh berubah mengikut jenama alat ganti, upah pemasangan dan model kenderaan. Ia juga tidak termasuk pembaikan kerosakan yang tidak dijangka, insurans atau cukai jalan.

Walau bagaimanapun, cara paling mudah untuk mulakan simpanan khusus bagi kos kenderaan adalah dengan mengasingkan RM100 hingga RM150 sebulan atau mengikut  kemampuan masing-masing ke dalam akaun berasingan. Bila tiba masa untuk servis, wang sudah tersedia tanpa perlu kacau bajet bulanan.

Apa Yang Perlu Anda Buat Sekarang

Pemilik kereta Perodua boleh terus ke mana-mana pusat servis bertauliah untuk servis kenderaan anda dan nikmati potongan 10% ini tanpa sebarang syarat tambahan.

Bagi pemilik kereta lain pula, anda perlu tanya diri sendiri sama ada anda mempunyai simpanan khas untuk kos pembaikan atau servis kenderaan kerana kerosakan yang tidak dijangka boleh menelan kos ratusan hingga ribuan ringgit. Mulakan dengan simpanan kecil yang konsisten.

Bagi anda yang sedang mempertimbangkan pinjaman kereta atau menabung untuk membeli kereta pertama, ambil kira keseluruhan kos bulanan memiliki sebuah kereta. Selain ansuran bulanan, anda juga perlu mengambil kira kos insurans, cukai jalan, minyak, parkir, tol dan servis berkala. Rujuk artikel kereta yang mampu anda miliki berdasarkan gaji ini sebagai panduan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen