PLUS Malaysia Berhad mengaktifkan sistem pembayaran tol terbuka JustGO di enam plaza tol baharu di Wilayah Selatan bermula jam 10 pagi semalam (15 Julai 2026). Pengaktifan ini melibatkan Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), serta Plaza Tol Tanjung Kupang, Lima Kedai dan Perling di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
PLUS antara syarikat konsesi lebuh raya yang menyertai platform JustGO, sistem pembayaran tol terbuka berasaskan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) atau Sistem Pengecaman Nombor Plat. Jelas PLUS, sistem ini merupakan yang pertama dilaksanakan dalam industri lebuhraya Malaysia.
Pengguna JustGO Bebas Pilih Lorong Di Plaza Tol
Pengguna yang sudah mendaftar boleh membayar tol menggunakan nombor plat kenderaan sahaja dan menikmati #LANEFREEDOM di plaza tol yang telah diaktifkan. Mereka bebas untuk masuk dan keluar melalui mana-mana lorong yang tersedia, tanpa perlu lagi memilih lorong khusus mengikut kaedah pembayaran sedia ada. Kamera ANPR membaca nombor plat kenderaan berdaftar dan memproses bayaran tol melalui kad pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi JustGO.
Muat Turun Aplikasi JustGO Untuk Mendaftar
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO di Google Play bagi pengguna Android dan App Store untuk iOS. Setelah aplikasi dimuat turun ke dalam telefon pintar, anda perlu mendaftar akaun dan kenderaan serta membuat kad pembayaran bagi menggunakan kemudahan berkenaan.
Semasa pendaftaran akaun JustGO, anda perlu membuat pengesahan pengguna dengan memasukan nombor telefon, emel dan pengesahan eKYC (ambil gambar MyKad dan swafoto wajah). Kemudian buat pengesahan pembayaran dengan memilih jenis bank yang anda gunakan dan masukan maklumat kad debit atau kad kredit. Akhir sekali buat pengesahan kenderaan dengan mengambil gambar Sijil Pemilikan Kenderaan anda dan gambar bahagian hadapan serta belakang kereta yang menunjukkan nombor plat.
Perkembangan JustGO Dan Plaza Tol Yang Telah Diaktifkan
Menurut PLUS, JustGO mula diperkenalkan di NSE menerusi projek rintis awam di sembilan plaza tol antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari 2026, sebelum turut dilaksanakan di Plaza Tol Jitra di NSE serta Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim pada Jun 2026. Pengaktifan di Wilayah Selatan kali ini menyusul rancangan PLUS untuk melaksanakan JustGO di semua plaza tol kendalian syarikat itu bermula Ogos ini.
Setakat ini, plaza tol yang sudah mengaktifkan JustGO ialah Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam, Sungai Dua, Jitra, Lunas dan Kubang Semang, selain enam plaza tol baharu di Wilayah Selatan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
