Kerajaan Bayar Balik RM14.7 Bilion Lebihan Cukai Setakat Jun 2026

KONGSI

Kerajaan telah melunaskan RM14.7 bilion bayaran balik lebihan cukai membabitkan 3.17 juta kes pembayar cukai setakat 30 Jun 2026. Angka terkini ini didedahkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, susulan soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bertanyakan tentang status tunggakan bayaran balik lebihan cukai setakat 31 Mei 2026. 

RM5.75 Bilion Individu, RM8.95 Bilion Syarikat 

Menurut MOF, sebahagian besar jumlah itu, iaitu RM5.75 bilion disalurkan kepada 3.1 juta pembayar cukai individu. Selebihnya, RM8.95 bilion dibayar kepada 76,511 syarikat, termasuk 23,356 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Syarikat Miliki Masalah Aliran Tunai Diutamakan

Kata kementerian itu lagi, dalam memperkukuh urusan bayaran balik lebihan cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah melaksanakan pelbagai strategi yang lebih adil dan saksama.

Jelas MOF, LHDN juga memastikan peruntukan bayaran balik daripada kerajaan dapat diagihkan secara teratur dan berkesan berdasarkan usia tunggakan kes, mahupun tanpa mengira usia kes dengan turut memberi keutamaan kepada PMKS dan syarikat yang sedang menghadapi masalah aliran tunai.

Kes Dalam Semakan Turut Disegerakan

Kes yang masih menunggu semakan maklumat atau dokumen tambahan turut mendapat perhatian. Kerajaan komited menyelesaikan tunggakan berkenaan dengan segera dengan mengambil kira kepentingan semua pembayar cukai individu dan syarikat.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi fiskal Kerajaan MADANI untuk mempertingkatkan kecekapan pentadbiran cukai negara.

Semak Status Bayaran Balik Anda Dalam MyTax

Anda juga boleh menyemak status bayaran balik melalui portal MyTax. Log masuk ke akaun MyTax anda dan klik menu Bayaran Balik. Status bayaran balik anda akan dipaparkan dalam bentuk tracking, daripada peringkat pemprosesan sehingga bayaran selesai. 

Jika terdapat sebarang masalah, ketidakpastian atau persoalan, anda boleh terus menghubungi  Pejabat HASiL yang bertanggungjawab dalam mengendalikan fail cukai anda atau talian HASiL Contact Centre di 03-8911 1000 (waktu operasi 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum).

Bagi anda yang ingin mengetahui senarai penuh pelepasan cukai pendapatan yang layak dituntut bagi Tahun Taksiran 2025, panduan pelepasan cukai kami ada senaraikan kesemuanya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen