Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Skim PADURI Madani di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di mana inisiatif ini menyasarkan 29,000 orang usahawan wanita baharu di seluruh negara.
Siapa yang layak untuk mohon Skim PADURI?
Skim ini terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan syarat pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,880 atau pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,470.
Apa yang lebih menarik adalah pemohon yang telah disenaraihitamkan (blacklisted) atau diisytiharkan muflis turut diterima. Tiada keperluan penjamin atau cagaran.
Skim ini menyasarkan tujuh kumpulan utama:
- Wanita Melayu, Cina dan India
- Wanita Bumiputera Sabah dan Sarawak
- Orang Asli
- Komuniti Siam
- Wanita B40 di kawasan bandar dan luar bandar
Berapa banyak pembiayaan yang boleh dapat?
Terdapat dua kategori pembiayaan di bawah skim ini:
Kategori Ekonomi (sehingga RM30,000):
- i-Paduri Mesra
- i-Paduri Srikandi
- i-Paduri Muda
Kategori Sosial (sehingga RM15,000):
- i-Paduri Wibawa
- i-Paduri Sejahtera
- i-Paduri Bestari
- i-Paduri Penyayang
Pembiayaan bermula dari RM3,000 untuk kategori ekonomi.

Rekod bayaran balik yang membanggakan
Anwar, yang juga Menteri Kewangan mengakui bahawa kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan Sahabat AIM amat rendah berbanding kumpulan yang lebih berada.
“Pada 2025, hampir 0% yang gagal membayar balik. Baru-baru ini, bersama Datuk Johan, kami menyemak rekod bank. Semakin kaya seseorang, semakin sukar mereka membayar hutang. Golongan miskin yang membayar, sebab itulah saya bangga dengan AIM,” katanya.
Jumlah pembiayaan AIM turut meningkat kepada RM2.8 bilion pada 2024, berbanding RM2.5 bilion pada 2023.
Sabah dan Sarawak pimpin bilangan usahawan
Dari segi bilangan Sahabat Usahawan, Sabah mencatatkan 53,000 orang manakala Sarawak pula 43,000 orang, angka tertinggi di seluruh Malaysia.
Bagi peruntukan pula, Kelantan menerima RM500 juta pada 2025, Kedah RM325 juta dan Terengganu RM319 juta. Kerajaan Madani turut menyalurkan dana pinjaman baharu sebanyak RM200 juta kepada AIM.
Pencapaian AIM sejak ditubuhkan
Sejak ditubuhkan 39 tahun lalu, AIM telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM39.1 bilion kepada lebih 1.18 juta peminjam.
Bagi tempoh Januari hingga April 2026 sahaja, sebanyak RM1.07 bilion telah disalurkan kepada 131,105 peminjam.
Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) bernilai RM5 bilion untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
