Selangor Perluas Bantuan OKU Melalui BRAIS 2026, Permohonan Dibuka Dari 1 Sehingga 22 Jun

KONGSI

Kerajaan Selangor melancarkan program Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) 2026 dengan  beberapa penambahbaikan dilakukan kepada sistem sokongan sedia ada untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

BRAIS 2026 merupakan penjenamaan semula program Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) di bawah Yayasan Anak Insan Istimewa Selangor (YANIS).

Pembaharuan Dalam BRAIS 2026

Program ini memperkenalkan dua kategori bantuan baharu iaitu:

  • Bantuan tandas mesra OKU di kediaman: RM1,500
  • Bantuan ubat-ubatan, suplemen dan keperluan khas: RM1,200

Selain itu, had umur bagi penerima manfaat turut dinaikkan daripada 18 tahun kepada 60 tahun. Ini bermakna OKU dewasa kini juga layak mendapat bantuan peralatan, keperluan perubatan dan sokongan terapi yang sebelum ini tidak dapat diakses oleh kerana kekangan kewangan.

Bantuan Sedia Ada Yang Dikekalkan

BRAIS 2026 turut mengekalkan semua kategori sokongan yang telah ada:

  • Yuran pusat terapi: RM1,200
  • Peralatan khas: sehingga RM3,000
  • Yuran sekolah pendidikan khas: RM120

Permohonan Sepenuhnya Dalam Talian

Penghantaran dokumen sokongan untuk permohonan BRAIS 2026 kini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Langkah ini bertujuan mempercepatkan proses kelulusan dan memudahkan urusan ibu bapa serta penjaga.

Permohonan dibuka mulai 1 Jun (jam 8.30 pagi) hingga 22 Jun (jam 5.00 petang) di laman sesawang rasmi YANIS.

HajiKids 2.0: Pembelajaran Haji Melalui Simulasi

Selain BRAIS 2026, kerajaan negeri turut melancarkan program HajiKids 2.0. Seramai 2,500 kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun yang menyertai program ini akan didedahkan dengan  kaedah simulasi praktikal dan teknologi visual interaktif bagi memberi gambaran kepada golongan kanak-kanak kepada pengalaman melaksanakan ibadah haji.

Sebagai sebahagian daripada usaha memastikan OKU turut serta, YANIS turut menaja penyertaan 35 orang kanak-kanak berkeperluan khas dari Pusat YANIS, serta 18 peserta yang menghidap cerebral palsy. 

Untuk perancangan masa hadapan, YANIS juga berhasrat untuk meneroka kerjasama strategik dengan syarikat animasi Warnakala Studios untuk memanfaatkan ekosistem digital popular seperti Didi & Friends sebagai medium komunikasi mesra OKU kepada masyarakat umum.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments