Portal belitiketselamat.my Dilancarkan, Ini Cara Ia Lindungi Anda Daripada Penipuan Tiket

KONGSI

Tiket konsert habis terjual, tapi masih ada individu yang menjualnya di media sosial dengan harga yang tidak masuk akal. Pasti ramai yang pernah melihat perkara sebegini berlaku di media sosial, bukan?

Bagi menangani masalah ulat tiket atau scalper (individu yang membeli dan menjual semula tiket pada harga berlipat ganda untuk meraih untung) dan penipuan tiket konsert ini, portal belitiketselamat.my kini dilancarkan sebagai platform rujukan khusus untuk rakyat Malaysia.

Apa Itu Portal BeliTiketSelamat.my?

Portal ini diperkenalkan di bawah Kempen Beli Tiket Selamat (BTS) yang membolehkan orang ramai mengesahkan ketulenan tiket sebelum membuat sebarang transaksi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, iklan tiket palsu tersebar dengan sangat pantas di media sosial, dengan sesetengahnya muncul hanya beberapa minit selepas sesuatu acara diumumkan, terutamanya apabila tiket rasmi telah habis dijual.

Bukan Ganti NSRC, Tapi Untuk Kuatkan Penguatkuasaan

Untuk makluman, BTS ini bukanlah platform baharu yang menggantikan badan sedia ada. Sebaliknya ia berfungsi seperti:

  • Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC)
  • Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Menurut Fahmi, kempen ini adalah untuk memperkukuh usaha penguatkuasaan dengan menyediakan maklumat tindakan (actionable intelligence) untuk membolehkan campur tangan yang lebih pantas.

Inisiatif strategik ini dijangka berlangsung selama 24 bulan dengan tumpuan pada perkongsian data yang lebih teratur di antara industri dan kerajaan.

Meja Bantuan Di Lokasi Acara: Lapor Dalam 15 Minit

Selain portal, kempen BTS turut akan menyediakan meja bantuan di lokasi acara konsert berlangsung. Jika anda menjadi mangsa penipuan tiket, anda boleh mendapatkan bantuan untuk memfailkan laporan NSRC dalam masa 15 minit sahaja.

Langkah ini diperkenalkan seiring dengan KL Headline Season 2026 yang dijangka menarik ribuan penonton ke ibu kota untuk menyaksikan pelbagai konsert bertaraf antarabangsa.

Sebelum beli tiket konsert, anda dinasihatkan untuk semak dahulu di laman belitiketselamat.my. Lebih baik ambil masa seminit untuk sahkan, daripada rugi ratusan ringgit menjadi mangsa penipuan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen