Premium Asas MediAsas Dijangka Bermula RM65 Sebulan

KONGSI

Premium bulanan asas MediAsas dijangka bermula dari RM65, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. Harga sebenar masih belum dimuktamadkan, tetapi beliau jamin pelan insurans dan takaful kesihatan cadangan kerajaan ini akan kekal mampu milik untuk rakyat berpendapatan pertengahan. 

MediAsas Jenama Bagi Pelan Asas MHIT 

MediAsas merupakan jenama bagi Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT). Ia ditadbir oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Dzulkefly sendiri.

JBMKKS ditubuhkan pada 25 Jun 2025 untuk menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan, dengan penyertaan wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Harga Boleh Cecah RM550, Bergantung Umur dan Produk 

Dzulkefly berkata, pengubahsuaian akan dibuat di mana-mana bahagian yang diperlukan, tetapi harga akan kekal mampu milik. Beliau menjelaskan kerajaan masih memperincikan syarat pelan, struktur harga, serta kriteria perlindungan dan pengecualian. 

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan pada 6 Julai 2026 menyatakan bahawa premium sasaran boleh mencecah sehingga RM550 sebulan, khusus untuk individu yang menyertai sehingga umur 70 tahun. Perlindungan pula disediakan sehingga umur 85 tahun.

MediAsas turut ditawarkan dalam dua variasi, iaitu MediAsas Teras sebagai pelan standard dan MediAsas Fleksi sebagai pelan standard-plus. Perbezaan pelan ini menjelaskan kenapa harga sebenar bergantung kepada jenis produk yang dipilih pengguna.

 Kriteria Kelayakan MediAsas Lebih Luas

Jelas Amir Hamzah, MediAsas direka dengan kriteria kelayakan yang lebih luas serta ciri produk tersendiri, bertujuan untuk memperluaskan lagi akses kepada perlindungan perubatan bagi segmen masyarakat Malaysia yang lebih besar.

Dzulkefly pula mengaitkan mampu milik MediAsas dengan pelaksanaan berperingkat sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) di hospital swasta. Mekanisme pembayaran ini menekankan penjagaan berasaskan nilai dan disasarkan bantu kekalkan kos rawatan lebih mampan dalam jangka panjang, bukan sekadar tawaran harga rendah semasa pelancaran sahaja.

MediAsas Tidak Gantikan Sistem Sedia Ada

Ujar Dzulkefly, MediAsas masih dalam proses penelitian dari segi syarat, harga mahupun kriteria perlindungan dan pengecualian. Jelasnya, pelan ini juga tidak akan menggantikan sistem kesihatan awam. Sistem sedia ada akan terus menyediakan Liputan Kesihatan Universal untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ujian Rintis Bermula Hujung Bulan Ini

Kementerian Kewangan mengumumkan program Insurans Kesihatan MediAsas pada 6 Julai lalu. Fasa rintisnya dijangka bermula penghujung bulan ini, melibatkan enam syarikat insurans bersama hospital swasta terpilih di sekitar Lembah Klang. 

Enam syarikat yang terlibat ialah AIA Berhad, Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.

Dapatan daripada program rintis ini akan digunakan untuk memperhalusi aturan pelaksanaan sebelum MediAsas dilancarkan di peringkat nasional pada Januari 2027.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen