Pada 15 September 2026, RHB Bank Berhad melancarkan Makeover Flexi Loan hasil kerjasama dengan syarikat renovasi The Makeover Guys. Pinjaman ini membolehkan anda membiayai pembelian rumah dan kos renovasi dalam satu kemudahan sahaja, sehingga 120% nilai hartanah.
Pecahan Pembiayaan Meliputi 90% Rumah, 30% Renovasi
Kemudahan ini direka untuk pemilik rumah dan pelabur hartanah. Pemohon yang layak boleh mendapat sehingga 90% untuk pembelian hartanah. Tambahan sehingga 30% lagi untuk kerja renovasi, Mortgage Reducing Term Assurance atau Takaful (MRTA/MRTT), serta yuran guaman dan dokumentasi.
Tempoh bayaran balik sehingga 35 tahun, atau sehingga anda berusia 70 tahun, mana-mana yang lebih awal. Pinjaman ini turut membawa ciri Full Flexi dimana anda boleh bayar lebih daripada ansuran bulanan, dan keluarkan semula wang lebihan itu bila perlu.
Dana Renovasi Dilepaskan Secara Berperingkat
Dana untuk kerja renovasi tidak dikreditkan sekaligus. Ia dilepaskan secara berperingkat, mengikut sejauh mana kontraktor menyiapkan setiap fasa kerja.
Sebelum ini, pembiayaan rumah mudah didapati tetapi pembiayaan renovasi selalunya perlu dimohon secara berasingan. Ramai terpaksa keluarkan duit simpanan sendiri atau cari pinjaman tambahan selepas beli rumah, kemudian baru boleh mula kerja ubah suai. Makeover Flexi Loan membolehkan anda rancang kedua-duanya serentak sejak awal.
Pembiayaan Rumah Dan Renovasi Selama Ini Berasingan
Ketua Pembiayaan Pengguna, Perbankan Komuniti Kumpulan di RHB Bank Berhad, Sien Vee Loc berkata, pembiayaan hartanah dan pembiayaan renovasi selama ini dianggap dua keputusan berasingan, sedangkan kedua-duanya penting dalam membina sebuah rumah. RHB melihat peluang untuk merapatkan jurang ini dengan menggabungkan kedua-dua keperluan pembiayaan dalam satu penyelesaian.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Makeover Guys, Gavin Liew pula berkata, pihaknya kerap melihat pelanggan menangguhkan pindah masuk, buat renovasi bilik demi bilik bertahun-tahun, atau terpaksa berkompromi dengan apa yang mereka mahu kerana bajet renovasi tidak tersedia dari awal.
Kira Dahulu Kemampuan Anda Sebelum Mohon
Walaupun pembiayaan sehingga 120% ditawarkan, ini tidak bermakna anda patut ambil jumlah maksimum yang diluluskan. Sebelum mohon, pastikan anda kira dahulu harga rumah yang anda benar-benar mampu bayar berdasarkan gaji bersih, bukan sekadar angka kelayakan bank.
Permintaan Renovasi Rumah Semakin Meningkat
Permintaan renovasi rumah di Malaysia semakin meningkat. Pasaran penambahbaikan dan renovasi rumah bernilai RM47.7 bilion pada 2024 dan dijangka berkembang kepada RM59.2 bilion menjelang 2029.
Jika anda merancang beli rumah dan renovasi sekali gus, boleh hubungi The Makeover Guys untuk semak kelayakan anda bagi Makeover Flexi Loan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
