Yuran Kemasukan Kenderaan E-Hailing Di KLIA Kini Sama Rata, RM2 Sahaja

KONGSI

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyeragamkan yuran kemasukan kenderaan e-hailing di KLIA kepada RM2 (termasuk cukai) di Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa 16 September 2026. Sebelum ini, Terminal 1 mengenakan RM3 manakala Terminal 2 pula RM2.16. Menurut MAHB, perubahan ini bagi beri kejelasan dan keseragaman kepada anda sebagai penumpang, serta kepada pemandu e-hailing di kedua-dua terminal. 

Pemandu Bayar Yuran, Tapi Kos Berkemungkinan Sampai Kepada Anda

Yuran RM2 ini dikenakan kepada pemandu, bukan anda secara terus. Kos ini berkemungkinan turut dipindahkan kepada anda melalui tambang perjalanan, walaupun MAHB tidak nyatakan ini secara khusus.

Had Masa 10 Minit di Kawasan Mengambil Penumpang 

Kenderaan e-hailing diberi masa maksimum 10 minit di kawasan mengambil penumpang sebelum dikenakan caj penalti tambahan. Pastikan anda sudah sedia di kawasan pengambilan sebelum anda sahkan tempahan dalam aplikasi. Ini membantu pemandu anda elak penalti, yang berkemungkinan turut dipindahkan semula kepada anda.

Kemudahan Baharu di Terminal 1 Sejak Ogos

Perubahan yuran ini susulan penambahbaikan besar di Terminal 1 yang bermula Ogos 2026. Antara ciri baharu termasuk sistem pengecaman plat nombor (LPR) yang bersambung dengan skrin paparan maklumat penumpang (PIDS), kiosk layan diri, dan kawasan menunggu khas untuk penumpang. MAHB turut menambah ruang mengambil penumpang yang lebih tersusun dan marshal di lapangan untuk bantu anda serta melancarkan trafik. 

MAHB Lapor Peningkatan Operasi Dalam Sebulan

Menurut MAHB, kemudahan yang dipertingkatkan itu mencatatkan peningkatan operasi yang memberangsangkan. Berdasarkan data MAHB sendiri, dalam tempoh sebulan pelaksanaan, 99.3% pemandu e-hailing berjaya ambil penumpang dan keluar dalam tempoh 10 minit yang ditetapkan, jauh naik berbanding 49.4% sebelum ini.

MAHB turut melaporkan jumlah kenderaan harian yang memasuki lorong pengambilan penumpang turun 13.5%, daripada 8,124 kepada 7,024 kenderaan sehari, manakala kapasiti pemprosesan waktu puncak naik lebih dua kali ganda, daripada 302 kepada 660 kenderaan sejam.

Pematuhan Pemandu Tingkatkan Kelancaran Trafik 

Pengurus besar kanan pengalaman penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, penambahbaikan berterusan ini mencerminkan komitmen MAHB untuk pastikan operasi kekal teratur dan responsif terhadap keperluan semasa. “Di KLIA, setiap bahagian perjalanan penumpang adalah penting, termasuk pengalaman untuk sampai ke dan dari lapangan terbang,” katanya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen